Skip to main content

Entri 3 : Sedang pasir turut berubah

Hujan menitis laju di luar sana. Bunyi angin sesekali menerpa mengejutkan Nurindah yang sedang mengulangkaji.Siang tadi panas terik, seperti mahu terbakar kulit dibuatnya.Walaupun cuaca kadang-kadang tak menentu tetapi kesihatannya jarang terjejas.Tidak seperti waktu dia bekerja di bandar, dalam tempoh dua bulan pasti dia diserang selsema dan batuk.

Bunyi telefon bimbit , Nurindah segera mencapainya. Jarang telefonnya berbunyi apatah lagi waktu sudah hampir pukul sepuluh malam. Nombor yang tak dikenali.

“Hello.”
“Hello.”Kedengaran suara garau di hujung talian. Lelaki.

“Hello, siapa ni?” Nurindah menekapkan telefon rapat ke telinga.
“Amirul.”
“Amirul...”Ingatan Nurindah berputar-putar.Siapa Amirul?

“Kawan Aina.”Amirul memberitahu.

“Ooohh..” Baru Nurindah teringat Aina adalah salah seorang kawan yang dikenali ketika menghadiri acara gotong royong di masjid kawasan ini.Aina tinggal di rumah selang dua buah dari rumah Nurindah. Seorang jururawat yang bekerja di hospital berdekatan. Aina selalu juga menghubunginya mengajaknya keluar makan atau apa-apa urusan.

Tapi kebelakangan ini Aina jarang menghubunginya. Kadang-kadang Nurindah ada mengajaknya keluar tapi Aina selalu ada urusan.Jadi lebih kurang sebulan lebih Aina berhenti terus dari menghubunginya, cuma ada kala terserempak mereka hanya berbalas senyum, sudah jarang bertegur sapa.Nurindah sendiri tidak pasti kenapa mereka menjadi renggang, sangkaannya mungin Aina sudah mempunyai teman baru. Dia cuba bertanya jika Aina mempunyai masalah tapi Aina mengelak.

Pada firasatnya, ada sesuatu yang cuba disembunyikan Aina. Aina tidak mungkin ada masalah kerana selalunya dia akan bercerita pada Nurindah.Aina seperti mahu menjauhkan diri dari Nurindah.Nurindah sedar itu.Tetapi dia sendiri tak mampu bertanya apatah Aina sentiasa seperti mahu mengelak.Nurindah sedar yang dia cuma orang baru, dia sendiri tidak ada kawan untuk dipercayai.Jadi Nurindah fikir mungkin tidak ada saling kepercayaan antara satu sama lain menyebabkan mereka tak rapat.

Kepercayaan sangat memerlukan masa dan juga perasaan. Itu Nurindah sangat pasti.Jika Aina tidak dapat mempercayainya, malah selalu mengelakkan diri darinya apa lagi yang perlu dibuat. Jika orang tak sudi buat apa kita terhegeh-hegeh.

“Kenapa?Tak pernah pun awak call saya.”
“Nurin tau tak kenapa denga Aina?” Suara Amirul kedengaran gugup.

Nurindah mengerutkan dahi.Kenapa pula aku mesti jadi pusat rujukan? “Kenapa dengan Aina?”

“Dia berubah kebelakangan ni.Dia jarang call malah saya call pun selalu tak angkat.Kalau angkat pun banyak alasan.”

Masalah.Nurindah terdiam.Amirul juga seorang jururawat, sama-sama bekerja dengan Aina. Memang Nurindah tahu tentang hubungan Amirul dan Aina.Aina kata kawan, tapi segala urusan kalau boleh Amirullah tempat dia merujuk. Pergi dan balik kerja sama-sama. Malah jika ada mentol terbakar di rumah, si Amirullah yang dia cari.

Nurindah mengeluh. Ini sudah bukan kawan punya kes. Rasanya semua bermula sejak Amirul berpindah tempat kerja, di negeri lain. Dalam enam bulan lebih mungkin.Aina ada juga merungut tapi Nurindah tak mengendahkannya walaupun dia pasti hubungan mereka berdua mungkin lebih dari kawan tapi Nurindah memang tak mahu masuk campur.

“Jadi?” Nurindah sedar sepatutnaya dia tidak menyoal Amirul begitu.
“Jadi saya tak tahu nak buat macam mana? Sebab tu saya call Nurin.”
Nurindah mengetap bibir.Diam.

“Kami berkawan sejak belajar lagi Nurin.Tiba-tiba saja dia berubah tentulah saya rasa pelik.Bukan sehari dua saya kenal dia.”

Jadi apa lagi aku?Aku kenal dia tak sampai setahun.Tidak ada apa yang boleh aku bantu.
”Minta maaf.Saya pun tak tahu.” Nurindah menjawab.

Jika dia tahu sekali pun dia tak dapat menolong banyak. Nurindah selalu mengelak dari masuk campur hal-hal cinta orang lain apatah lagi jika mereka bukan dari kawannya yang rapat.Dia tak mahu menangguk di air keruh dan juga tak mahu terlibat. Dikhuatiri masalah akan bertambah teruk, apatah lagi orang bercinta ini selalunya buta.

Selalunya niat menolong disalahertikan, jadi lebih baik dia menjauh.Pandai bercinta pandailah selesaikan.Baginya mereka patut berhadapan dengan masalah dari menggunakan orang tengah.Orang tengah adalah pilihan terakhir. Selalunya kalau jadi benda buruk, orang tengah juga disalahkan.

Nurindah mendengar keluhan Amirul.”Amirul awak sabar lah ya. Jika jodoh awak dengan Aina tak ke mana.” Nurindah cuba menasihatkan.Namun dia sendiri tak pasti. Jika Aina seorang yang jujur memang bertuahlah Amirul jika memilikinya, bagaimana pula kalau tidak?Ahh..Soal jodoh ini memang kompleks.

Keluhan Amirul semakin berat. “Tak apalah Nurin.Terima kasih.” Telefon bimbit dimatikan.Kecewa benar nampaknya.

Kasihan.Nurindah mencampakkan telefon ke hujung meja.Cinta manusia sentiasa berubah. Dan manusia sentiasa mencari alasan untuk merubahnya. Ada alasan untuk jatuh cinta, ada alasan untuk membuang cinta.Benarkah?

Benarkah ada alasan untuk cinta?Jika ada orang jatuh cinta tak kira betapa jauhnya jarak, maka akan ada orang yang melupakan cinta kerana jarak. Malah ada juga yang bercinta dan kemudian membenci hanya kerana satu alasan yang sama.

Nurindah jadi bingung.Dia sendiri tidak pernah bercinta malah takut memikirkan bagaimanalah nanti otaknya akan mentafsirkan erti cinta.Adakah aku akan jadi biul dan buta juga?Rasanya bila orang jatuh cinta, ianya adalah sebab mereka jatuh cinta dan apabila mereka putus ianya kerana mereka berhenti menyintai.Bukan kerana alasan seperti kekayaan, kecantikan dan pelbagai. Semudah itu kah?Tetapi manusia mahu mencipta alasan sebanyak mungkin hanya untuk mengelakkan diri dari nampak bersalah.

Malam bertambah sunyi apabila hujan berhenti dan Nurindah tertidur dengan pelbagai persoalan tentang cinta di kepala.

Comments

Popular posts from this blog

Entri 103 : Hidup itu sendiri

Antara nikmat yang paling besar dan kebanyakan manusia lupa ialah peluang untuk hidup sebagai manusia. Walaupun secanggih mana pun sel sperma dan ovum, seberapa kompleksnya sistem nukleus atau seringkas mana pun ianya masih tidak sama dengan manusia. Manusia walaupun berasal dari ovum dan sperma, kita masih tidak dapat berkomunikasi dengan sel asal kita ini seperti mana kita bersembang dengan kawan kita sambil makan roti canai di pagi hari. Bukankah sepatutnya kita lagi kenal asal kita? Malah sebanyak mana pun memori otak, kita tidak dapat ingat kembali kehidupan kita di masa kita masih sperma atau ovum atau embrio. Kerana sperma, ovum atau sel-sel sewaktu dengannya tidak diutuskan ke muka bumi ini untuk menjadi pemimpin.Hanya manusia hasil dari kejayaan sperma bertemu ovum dan menjadi embrio. Dan embrio berjaya menjadi seorang bayi saat seorang ibu memilih dan berdoa untuk manusia biarpun muntah-muntah, tak lena tidur malah tidak dapat melihat kaki sendiri ketika berjalan.

Etri 133 : __ Yag Hilag

Pagi ii perlu ke kliik gigi.Perkara pertama di pagi Sabtu di bula Disember. Ruti tahua. Umur umur begii dia tidak mahu kehilaga gigiya. "Gigi bogsu awak perlu dicabut. Tak apa, ambil masa utuk berfikir cuma jaga lama sagat. Takut ati merebak." asihat doktor setelah memberi pejelasa pajag lebar. Diam. Ii kali kedua dia medapat asihat yag  dari doktor yag berbeza.Cuma doktor yag sebelum ii kurag pejelasa. Cuma ditaya samada ak cabut atau tidak? Tetulah tak ak! Saat doktor memeriksa da mecuci gigiya, fikiraya melayag. Dia melihat jam didig hitam dega ombor juga berwara hita.Terus terag, ombor itu hitam da lagsug  tidak kelihata. Yag kelihata haya jarum jam, miit da saat. Tapi dia sudah tahu pukul berapa tapa melihat ombor. Dia sudah biasa dega jam tapa perlu melihat ombor lagi.Cukup dega jarum. Hummm ... ombor atau jarum yag petig? Jam digital tidak perluka jarum.Jadi jarum mejadi tidak petig. Petigkah permasalaha jam ii? Tidak petig!! Tetapi utuk megalihka perasaa seria

Entri 85 : Impian

Apa impian mu? Impianku pulang ke kampung, menjaga orang tuaku tanpa risau tentang duit atau hutang. Kamu tidak ingin bernikah? Ya.Aku ingin menikah tapi yang penting impianku mahu menjaga kedua ibu bapaku.Itu yang pasti.Semua orang yang lahir belum tentu akan bernikah di dunia ini.Tapi semuanya pasti mempunyai ibu bapa.Ramai yang mendirikan rumah tangga tapi terlupa kebajikan ibu bapa di kampung.Pulang hanya sewaktu ibu sakit atau hari raya.Kalau sudah berkahwin, tergantung pula rumah mertua di mana.Jika tidak pulang, berapa kerap yang selalu menelefon orang tua bertanya khabar?Selalu call bilamana ada kecemasan sahaja. Padahal masing masing tahu betapa susahnya ibu bapa memelihara kita dahulu seperti mana kita berasa susah memelihara anak kita sekarang.Sayang, saat kita sibuk membina keluarga, kita meninggalkan keluarga kita.Aku tak mahu itu.Sekarang aku bujang,tinggal berjauhan.Jika berdekatan juga aku akan sibuk bekerja.Bayangkan sekarang sebelum kahwin aku tidak ada masa u