Entri 105 : Culik

Saya kena culik!
Huh
Selama mungkin lima minit.
Pagi itu seperti biasa Nurindah berjalan keluar dari apartment mahu menuju ke LRT. Dia bukan tergesa-gesa. Dia mahu menikmati pagi itu betul betul. Berilah peluang kepada orang lain yang mungkin bangun lambat mahu kejar LRT dan pelbagai masalah dalam hidup.

Berjalan sambil melihat burung bermata merah yang bising di bawah pokok palma yang ditanam entah sejak bila di kawasan apartmentnya. Seekor tupai yang setiap kali muncul - sendirian. Kasihan!

Saat dia mahu membuka gril di pondok penjaga, seorang wanita bertongkat tergesa-gesa merempuhnya. Eh, orang lain yang buka pintu orang lain pula yang masuk.

Wanita itu berjalan tercapik capik dengan laju menuju ke sebuah kereta yang menunggunya di situ.

"Nak pergi LRT ke?!" Tanyanya kasar.

Nurindah tergumam gamim, eh dia tanya aku ke?

"Nak pergi LRT ke?!" dia ulang.

"Ya."Nurindah menjawab sebab takada orang lain kat situ.

"Naik cepat." sahut wanita itu sambil membuat isyarat muka.

Nurindah blur. Otaknya mungkin tengah pusing memproses.

"Cepatlah naik!!"

"Ummm." Nurindah membuka pintu kereta, masuk.

Wanita tersebut berbual bual dengan pemandu. Nurindah diam, tak ambil pot - dia mungkin masih terkejut.

Saat sampai di LRT, wanita tersebut tergesa-gesa turun meninggalkan kereta dan meninggalkan Nurindah sendirian dalam kereta.

Tak ada jom. Tak ada apa-apa.

Sunyi beberapa saat.

"Okay, terima kasih." Nurindah berbasa basi dengan pemandu yang kelihatan seperti tercengang-cengang dari tadi.

Saat Nurindah keluar, dia singgah membeli cucur badak sambil berfikir-fikir.

Aku kena culikkah tadi?

Comments

Popular Posts