Entri 116 : Tosai

Selepas puasa, sudah banyak hari dia teringin nak makan tosai.

"Dosa."

"Tosai."

Kawannya dari India membetulkan sebutannya bukan tosai tapi dosa. 

Tapi, tapi dosa itu bunyinya agak ralat bila nak memesan. "Boss, dosa satu!"

Pagi-pagi lagi dia sudah bangun. Nawaitunya sudah diset dari semalam, esok pagi sarapan mesti tosai. Sedapnya bila dibayangkan lempeng nipis yang masam masam sedikit dicicah dengan kuah kelapa campur yogurt dan sedikit rasa pudina. Lama betul tak makan, asyik bantai roti canai dan roti bom sahaja.

Saat dia keluar dari stesen LRT Ampang Park, wahh banyaknya orang jual sarapan. Selalunya dia agak lewat jadi banyak gerai-gerai kecil sudah tutup.Dia jarang beli pun.  Kalau ada sesiapa perasan ada sepasang suami isteri yang jual nasi lemak dan nasi biasa berdekatan esklator digelar  'makcik tangga'. Nasi lemak dan lauk pauknya sedap dan banyak, sehingga boleh dikongsi lagi dengan kawan-kawan. Murah pula tu. Makcik tangga ini berniaga sangat awal, jika bernasib baik pukul sembilan masih ada tapi lauk dan nasinya pula tak ada. Pernah dia datang pukul lapan pagi, ikut beratur bersama orang lain sebab nasi lemaknya betul-betul rasa seperti dimasak penuh ikhlas dari hati. Makcik ini memang jenis manusia awal pagi, maka pelanggan sasarannya adalah burung-burung yang awal.

Tapi hari ini dia nekad. Tosai, tosai sudah menjadi zikirnya dari semalam.

Di mana ada ya? Otak berpusing-pusing. Ada mamak NZ di G-Tower, tapi di Citibank pun ada mamak yang air bancuhannya membuatkan orang beratur pagi-pagi.

"Kita pergi Citibank jer la." Dia berbual dengan diri sendiri.Lama tak minum air tangan pakcik tua yang ramah tu. Pakcik itu sangat teliti walaupun kerjanya hanya bancuh air.

Saat berjalan menuju ke Citibank, seorang makcik berdiri dengan bubur nasi. Bubur nasinya memang sedap sebab dia pernah rasa. Harum bersama cili padi, ikan bilis, telur asin dan lengkap zat kalau hendak dibandingkan dengan bubur nasi dari kedai makanan segera.Uihh...sedapnya.

Ahh... bubur nasi. "Makcik bagi satu."

Saat menjinjing bungkusan bubur nasi, dia menyesal. "Kenapa pula kau beli bubur nasi?Kata tadi nak makan tosai!" Dia memarahi dirinya sendiri. Jarang datang awal, sekali datang awal sarapannya seperti mahu turun ke bendang.

"Ahh, tak apa kita makan dua-dua." Dia memujuk hati.Sebal sedikit."Bukan selalu kan."

Sampai di kedai mamak di Citibank, bau roti canai semerbak. "Tosai ada?" Dengan mata penuh harapan dia bertanya.

"Tosai tak ada cik. Kat sini roti canai, roti tulur sahaja yang ada." Kecewa tapi mujurlah dia sudah terbeli bubur nasi.

Alamak pakcik yang selalu bancuh air tak ada pula hari ini. Bertambah sedih lagi rasanya.

"Air apa tadi?"

"Nescafe tarik kurang manis.Panas."

Wanita yang membuat Nescafenya membancuh, melebihkan Nescafe dan menuang susu pekat, susu cair. Kemudian menariknya supaya rasanya sebati, penuh prosedur. Fahamlah kenapa ramai orang beratur semata-mata beli air sama ada minum atau bungkus.

Rezeki hari ini bukan tosai, rezeki hari ini bubur nasi dan Nescafe tarik yang bukan pakcik biasa buat. Sebenarnya Allah takdirkan dia bakal berjumpa tosai yang paling sedap yang dia pernah rasa setakat ini.

Tosai yang mengisi perut untuk hari-hari seterusnya.


Comments

Popular Posts