Entri 119 : Aidiladha 1440

Tahun ini dia berkeras. Mahu buat korban di rumah kampungnya. Belum pernah lagi halaman belakang rumah itu dibasahi darah korban.Belum.

Ini pertama kali.

Kerana sebelum ini dia cuma masuk bahagian korban saudara-mara ataupun tahun lepas korban melalui online.

Kali ini awal-awal lagi dia sudah berbincang dengan adiknya.

"Tak kira, Along nak tempah dulu seekor lembu untuk korban, kalau ada orang lain nak masuk bahagian kira alhamdulillah. Tapi yang penting tahun ini kita buat korban kat rumah kita."

Bunyi macam senang cari lembu, cari peserta.Dengan rahmat Allah, adik beradik berusaha mencari lembu dan peserta.Along cuma telefon dari KL nak lembu bunyi macam beli daging di pasar.Yang meraba mencari adalah mereka di kampung.

"Korban memanglah sunat muakad tetapi ianya syiar Aidil Adha. Hari tasyrik diperuntukkan banyak hari untuk memudahkan kita menunaikan korban bukan semata-mata ibadah haji.

Korban di tanah sendiri lebih baik , tetapi korban di tanah orang seperti melalui online juga baik dari tak buat langsung.Kalau tak boleh buat, usahakan untuk memudahkan ibadah korban.

Sayang sekali sayang. Apabila saudara kita yang kita tahu bukan daripada golongan ada-ada mengumpul duit bertahun semata-mata nak buat korban.

Pegawai keselamatan, ustaz mengaji malam, makcik sapu sampah sibuk main kutu supaya boleh buat korban,

Sedang kita baju baru silih berganti setiap bulan, sekali makan RM20 , RM 30 tapi bila ditanya pasal korban kita jawab  'belum ada rezeki' dengan mudah.

Puasa Ramadhan wajib maka mahu tak mahu orang berpuasa sedang ibadah korban adalah sukarela.

Alangkah beruntungnya mereka yang sukarela menawarkan diri berjimat cermat untuk bahagian lembu, kambing dan sebagainya untuk korban, berkongsi dengan mereka yang lebih susah padahal mereka pun susah juga."

Dush terasa sebiji ke hati. Selama ini dia rasa Aidil Adha biasa-biasa saja. Rupanya Aidil Adha tak kurang sedikit pun dari Aidilfitri.

Yang membuatkan dia terasa malu, setiap tahun apabila dia melihat mereka yang berpeluang menunaikan haji dia merasa alangkah bertuahnya mereka. Kalaulah dia ada duit, mungkin dia berpeluang haji.

Tapi duitnya cukup sahaja untuk buat korban tapi tak terbuat pun.

Bagaimana dia mahu menjamin bahawa nanti duitnya banyak dia akan menunaikan haji?

Lihatlah manusia, jika dia ada pun masih dia mencari cari perkara yang belum ada!


Comments

Popular Posts