Entri 121 : Dia yang pilih

Emak susah hati.
Abah susah hati.
Abang Ngah susah hati.
Angah susah hati.
Dia susah hati.
Semua susah hati.

Lembu korban yang ditempah berbulan lalu masih tak kunjung tiba. Mulanya dijanjikan dua hari sebelum raya, kemudian setelah ditanya menjadi sehari sebelum hari raya dan hari ini hari raya. Belum nampak lagi susuk lembu. Hendak dimarah tukang jual, bukan pertama kali mereka membeli.

Korban ditetapkan hari raya kedua. Saudara mara dipanggil, tentulah yang paling laju sebelah emak.Mereka faham yang korban ini pertama kali bagi emak.Jadi tak kisahlah berkonvoi sejauh 20 km lebih dari Cheruk Bemban demi memudahkan urusan korban emak.

Tapi yang penting lembunya di mana?

Dari pagi raya sehingga lanjut petang.

Emak sudah bincang dengan saudara maranya yang boleh tolong buat korban sebab ini pertama kali keluarga ini buat korban. Dah terbayang-bayang bagaimana susahnya nak rebahkan lembu.Buatnya lembu mengamuk macam mana?

"Takpa kak, lepaih kami habih di sini kami terus gi rumah kak." Adik emak tukang sembelih di kampungnya bersetuju.

"Habih tu lemu kat kampung lagumana pulak?" Tentulah emak risau takut-takut adiknya tak cukup tangan. Sibuk menyembelih di kampungnya kemudian terus ke kampung kakak pula.

"Takpa, dema sini tuh paka belaka.Lepaih kami semelih kami tinggal kat dema lapah.Toksah dok riso deh."

Beres!

Tapi lembu, subjek paling utama belum ada. Apalah guna orang datang tapi lembu tak ada.

Dia berdoa, semua berdoa dalam hati. "Ya Allah terimalah korban kami.Ini korban keluarga kami pertama kali."

"Jom along, kita gi rumah Abang Ngah, mak riso ni. Gena lemu ni tak sape lagi." Ajak emak. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam.

"Toksah la mak. Kalau kita susah hati Abang Ngah lagi la susah hati.Dia yang dok becekat suma." Dalam hati risau tak terkata, esok pagi apa yang nak dikorbankan kalau lembu tak ada!Semua orang ada tapi lembu tak ada.

Tiba-tiba lampu tinggi terang benderang menyuluh masuk ke tingkap.

"Ohh makk , tu de lori. Makk lemu mak."

Berlari anak beranak ini keluar."Telefon Abang Ngah mu."

Dua beranak berjalan laju-laju lebih kurang 100 meter mengekori lori lembu.Lebih dari sepuluh ekor lembu di atas lari.Dan yang menguruskannya cuma seorang.Dialah pemandu lori, dialah segalanya.Sudahlah berbadan kecil. Kagum betul.

Lega.

Abang Ngah, abah keluar. Masing masing ingat nak tolong pemandu tersebut, rupanya apalah sangat lembu itu. Mudah benar kelihatan dia mengatur lembu dalam lori seorang diri dengan badannya yang kecil.

"Sudah biasa buat kerja.Takpa takpa, toksah gaduh.Saya buat." Katanya bila mereka mahu menolong.

"Minta maaf deh, lemu hat muha tempah hari tu turun kat Changlun.Kami tak dapat cari. Jadi kami ganti dengan lemu ni. Lemu ni mahe sikit, besar sikit tapi takpa la na.Hat ni lima ribu lebih.Takyah kira la na, kira halal ja."

"Alhamdulillah." Dapat lembu yang lagi mahal dan besar tanpa perlu bayar lebih.

"Abang Ngah mu la....E jadi kalut, habih banjir satu dapur." Angah membebel dekat Abang Ngah.
"E tinggalnya a Coway tu terbuka."

Masing masing gelak. Tak apalah banjir satu dapur pun asalkan lembu dah sampai.

"Emak, Allah ganti lembu yang lagi baik mak."

"Humm.."

"Kita nak beli lembu mahal tak mampu.Tapi Allah nak lembu yang besar untuk korban. Jadi Dia pilihkan. Tapi itulah kita kena sabar la tunggu.Tengah malam baru sampai.Esok dah nak disembelih."

Lembu hitam itu berbadan besar tapi jinak. Masa diturunkan dari lori ada juga ia menoleh mahu ikut kawan-kawan yang lain. Tapi tak berapa lama kemudian bila ditambat di pokok pinang, ia meragut terus rumput-rumput lalang.


Keesokannya pagi pagi lagi saudara mara sudah datang. Pak Jang angkut sekali geng enam jahanam katanya.Mudah saja mereka merebahkan lembu, menghadap kiblat dan bertakbir. Abang Ngah sembelih dan mereka menyokongnya. Sebab lagi baik mereka yang berniat korban itu menyembelih sendiri korbannya. Mudah sahaja rupanya penyembelihan.Tak ada drama.


Yang wanita sibuk di dapur. Kopi dibancuh berkali kali, mee, kueh mueh dan buah-buahan.
Yang lelaki sibuk melapah.Daging daging ditimbang, dibungkus dalam plastik kemudian dimasukkan ke dalam raga. Sambil bersembang kes kes korban atau berkongsi petua masakan dan lain-lain.

Kemudian anak-anak lelaki dan menantu emak mengelilingi kampung menaiki motosikal untuk mengagihkan daging kepada orang kampung.

"Banyak daging dapat.Kami hantar sampai kot lerah lebuh raya la." Petang itu juga orang kampung kenal yang botak itu rupanya menantu abah.

Di waktu dia kecil dan miskin, saat paling manis bila orang memberi salam dan memberi bungkusan daging sambil berkata,

"Terimalah daging korban dari saya, Haji Cob"






Comments

Popular Posts