Entri 123 : Lepaskan

Jika tangan anda penuh, anda takkan pernah dapat memegang perkara lain walaupun itu adalah perkara yang paling anda inginkan!

Sudah lebih seminggu atau berbulan-bulan yang lalu dia merancang apa yang hendak dibawa untuk kembara Indo-Cina.

Antara tempat yang ingin dilawati adalah Vietnam, Laos, Thailand dan Cambodia. Apabila sahabatnya mengajaknya seperti orang mengantuk disorong bantal. Kembara sebelas hari merentasi Thailand, Cambodia dan Vietnam.

Dia kata ya walaupun jauh di sudut hati sebenarnya dia takut.

Takut jika belangnya atau belang sahabatnya terserlah semasa kembara. Apa jadi bila hubungan yang baik itu tercalar dek adanya drama-drama semasa mengembara?

Dan juga kembara itu disertai dengan dua orang kawan baru. Dibuatnya mereka ini tidak ngam, bagaimana?

Orang kata, kalau nak tahu sahabat kita itu baik atau tidak, mengembaralah bersama. Petua sesetengah orang jika nak lihat seseorang itu sesuai menjadi pasangan bawalah dia mengembara.
Mengembara - dalam erti kata bukan melancong secara serba mewah.
Kalau kita rasa sahabat kita itu masih lagi yang terbaik saat peluhnya bersepai dan emosinya tak stabil bila terjadi perkara-perkara yang tak diduga inshaaAllah itulah sahabat dunia akhirat.

Tetapi jika dia berterusan menyimpan keraguan dan kerisauan bila dia akan menjumpai yang dicari-cari.

Kalau hati sudah tepu dengan risau, sedih dan segala macam emosi negatif bilakah yang positif akan masuk?

Hati umpama gelas, jika ianya penuh habuk air yang diisi takkan jernih.

Sama seperti beg galas, berat dengan perkara remeh maka kembara akan dipenuhi dengan tragedi sakit bahu dan tekanan mental. Kaki takkan mampu melangkah jauh bila badan memikul beban berat.

Itukah yang anda mahu? Hatinya tertanya-tanya.

Tapi kalaulah perkara yang sekarang ini dirasakan remeh tiba-tiba diperlukan di sana nanti bagaimana?

You will figure it out!

Bukankah selama ini itu yang anda buat?!

Tanya diri sendiri - sebelum ini anda pernah mengembara beberapa kali  bukan?

Termakankah segala mi segera/biskut/kopi dan segala macam makanan yang selama ini anda bawa hampir separuh dari isi beg?

Tak, selalunya dia sedekahkan saja. Semasa di UK pun dia lebih sanggup cari makan di luar dari masak Maggi di hotel.

Terbuat ke segala rutin kecantikan sewaktu anda mengembara selama ini?

Tak, di rumah pun jarang apatah lagi ketika kembara.

Habis? Kenapa nak dibawa satu rumah? Jika penting sangat untuk membawa satu rumah, maka tak perlulah mengembara.

Duduk saja di rumah!

Oh, pedih. Suara hati sendiri rupanya yang paling lancang sebenarnya.

Selama ini jika anda terlupa membawa sesuatu adakah menyebabkan anda mati?

Tak...

Itulah manusia, ketakutan yang melebih lebih.Keinginan melampau tapi hati penuh, tangan penuh sudahnya seumur hidup rasa terbeban.

Dushh.

Perlahan-lahan dia menarik keluar beberapa mi segera.Beberapa minuman segera.

Dia mengeluarkan beberapa helai baju.

Dan beberapa barang penjagaan diri.

Lagi... dan lagi barang dikeluarkan.

Sambil berdoa, "Ya Allah cukupkanlah aku dan kawan-kawanku."

Betul, dia terlupa membawa telekung dan selipar dan lain-lain. Tetapi seperti selalu, penyelesaian sentiasa ada.

Dan dia juga menemukan manusia-manusia yang hebat seperti selalu.

Istana Maruekathaiyawan. Gambar kredit buat @ain.abdullah152 , @dausharon , @ayu_rahaman [Instagram] bersusah payah untuk menghasilkan gambar yang cantik.


Comments

Popular Posts