Entri 124 : Pencarian

Kenapa aku suka mengembara?

Soalan itu ditanya berkali-kali pada diri sendiri.

Mungkin sebab orang lain buat, maka kewajiban bagiku untuk memastikan petak kosong wish list di-tick sebelum umur berapa berapa seperti orang lain? Dengan hashtag #lifegoal mungkin.

Mungkin untuk gambar gambar cantik buat tatapan orang lain di muka Facebook dan Insta? Biar! Rasakan ledakan photo bomb ku! Kalau tak suka sila UnFollow. Begitu ?

Atau mungkin mencari sesuatu yang baru samada pengalaman atau jodoh seperti kebiasaan orang-orang bujang sepertinya?

Jadi selepas merayau ke sana sini di bumi Tuhan ini,apa yang anda mahu sebenarnya?

Seseorang yang tahu semua perkara?

Setiap kali dia bermusafir dengan harapan moga moga menjumpai sesuatu yang baru tetapi tidak.

Dia menjumpai dirinya, setiap kali.

Wajah-wajah manusia yang biasa dilihat. Penat, sedih , keliru, tenang dan seribu satu rasa yang sukar dihadam oleh hati.

Saat dia meletakkan dahi, sujud di atas sejadah di masjid negeri asing yang serba kekurangan air matanya tersembur keluar.

Lihat ini, manusia yang fakir tetapi merasakan dia kaya raya.

Itu adalah dirinya sebenarnya.

Terkenang waktu emak memegang lengannya kuat-kuat sewaktu mengikutinya bertawaf. Sedikit pun tak dilepaskan kerana takut sesat dalam lautan manusia.Emak sudah tua, tak pernah ke luar negara, tak tahu bahasa Inggeris. Tetapi Mekah adalah salah satu impian hidupnya yang cuma dipenuhi sewaktu usianya sudah senja.

"Emak ni bodoh, minta tolong anak-anak ajar emak."

Dia teringat-ingat perkataan yang diucapkan kepada emak,

"Jika Along tak pernah mengembara, agak-agak emak mudahkah untuk Along bawa emak dan abah ke umrah?"

Emak diam. Bila dikenang kembali, bongkak betul dia sebagai anak.

Ya Allah, ampunkan dosa anak yang bermulut lancang ini.
Swiss Sheep Farm - Cha-am, kredit gambar @dausharon [Instagram]


Comments

Popular Posts