Entri 162 : Benar?

Dia masih ingat rumah yang berdekatan dengan penjara Fremantle itu. Rumah rekabentuk kolonial itu membawa mereka ke era Victoria. Bau hapak seperti muzium dek barang barang antik yang tidak diketahui usianya. 

Dia masih ingat di waktu malam dia cuba sedaya upaya tidak keluar dari bilik merayau di sekitar rumah. Patung-patung bertopeng dan kepala Buddha yang besar, terasa dirinya diperhatikan tatkala dia ke bilik air. Malah kepala paip diperbuat dari gangsa , berukir sangat antik ...dia cuba mengelakkan diri dari memandang ke cermin saat menggosok gigi. Tidak pasti apa yang menyeramkan, rumah itu atau penjara yang berjiran. 

 Seorang lelaki Itali duduk sambil mencuba gitar , dia melepak di rumah. Jarang sekali dia keluar. Dia masih ingat muka lelaki itu, memakai gelang etnik di tangan berambut ikal paras bahu. Mungkin umurnya awal dua puluhan.

"Lelaki Itali tu sepertinya seorang lelaki yang baik." komennya saat tuan rumah meluahkan rasa risau.

"Ya, dia seorang yang baik cuma dia tidak seperti pengembara yang lain."

Dia mengangkat kening, tidak faham.

"Pengembara selalunya akan keluar seberapa kerap dan lama yang mungkin. Tapi dia cuma melepak di rumah tamu." Merisaukan kerana pengembara itu lebih banyak memerap di rumah.

Ya, apa guna membayar tiket kapal terbang mahal-mahal tetapi menghabiskan masa melepak di rumah AirBnB.

Atau mungkin kerana ketenangan itu tidak didapati di rumah sendiri di tanah air sendiri.

Tuan rumah itu seorang wanita berusia sekitar 70 an , bekas jururawat. Melalui trauma di waktu kecil, berpindah ke Australia, bercerai dengan suami; sungguh dia menyaksikan pelbagai perkara. Berbual dengannya seperti masuk ke dalam buku Sejarah, tidak membosankan.

Namun kerisauannya tentang lelaki Itali yang jarang keluar rumah itu hilang sementara waktu dek kesibukannya melayan tamu tamu yang lain.

"Kamu mesti rasa yang ini. Kawanku mencadangkan aku cuba mi segera ini." Beria ia dia membeli Ibumie mi segera. Tamu yang berdua itu tercengang-cengang kerana seumur hidup mereka tidak pernah makan mi segera Ibumie walaupun mereka berasal dari Malaysia.

Ya, ianya dijual di Malaysia tetapi bukan jenama pilihan.

Dia tercengang-cengang. Dalam fikirannya halal ke, rasanya apa, boleh ke perutnya menghadam. 

Dalam keadaan dia masih lagi berkira-kira, kawannya sudah siap mengadap mangkuk yang berasap.

Tak ada was-was.

"Bagaimana dengan kamu?" Tuan rumah itu bertanya. 

Dia menggeleng."Aku masih kenyang." Sejurus dia menjawab saat tiba-tiba lelaki Itali itu masuk ke dapur.

Tuan rumah berlalu keluar, kali ini lelaki Itali menarik kerusi dan menyertai mereka.

"Kamu menipu."

Tiba-tiba dia berasa tidak selesa dengan tuduhan lelaki Itali tersebut. Terlampau melulu.

"Kamu bukan kenyang. Tetapi kamu tidak berani mencuba, kamu menipu hanya mahu menjaga hati tuan rumah." Tuduhan langsung tanpa berlapik itu cukup membuatkan mukanya memerah.

"Aku dari Itali. Gerak badan, ekspresi muka dan pelbagai lagi kami terpaksa belajar untuk survive." Lelaki tersebut menyambung. 

"Tidak, aku betul betul kenyang." Dia berasa jengkel, entah lelaki ini dari mana kenal pun tidak tetapi sesuka hati menuduh orang menu.

Lelaki Itali itu tersenyum."Benar?"

Diam.

Lelaki itu berterusan bercerita tentang Itali, mafia, godfather dan kawannya masih lagi menghirup mi segera yang panas.

Keramaian menyaksikan fenomena gerhana.Fremantle War Memorial, Feb 2018.

21092020



Comments

Popular Posts