Jan 4, 2019

Entri 102: Lapang dada

Tak dapat dibayangkan jika aku di tempat Nabi Yusuf a.s

Mungkin berjuta-juta  rungutan ku lemparkan

Bukankah sepatutnya adik beradik kita yang menolong kita?
Perlu ke aku memaafkan sedang mereka yang memporak perandakan hidupku?
Tergamak mereka memisahkan anak dari bapa dan membuang saudara mereka hidup hidup dalam telaga.

Manusia apakah itu?

Dan setelah aku bersusah payah  berkhidmat kepda majikan dengan penuh setia,
hanya kerana aduan si isteri aku dijentik ke penjara.Padahal sudah terang terang aku tidak bersalah.Dasar orang kaya tak sedar diri!

Dan aku akan bertanya tanya kenapa AKU?

Patutkah aku ampuni kejahatan kejahatan lampau mereka ini? Kira aku ini nyanyuk senang-senang mahu memaafkan mereka?

Akan tetapi Nabi Yusuf sekadar berkata

Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. 12:92

Begitu lapangnya dia sehingga bagaimana pun dia diperlakukan saudara-maranya langsung tidak menghalang dia bersangka baik dengan Penciptanya

Jika aku di tempat Asiah isteri Firaun , tak dapat aku bayangkan. Nauzubillah!

Lelaki seganas itu malah mengaku tuhan. Betapa sombongnya dia malah jika dikumpul semua kesombongan seorang suami dia mungkin yang paling sombong dan ego.

Mungkin sudah berkoyan-koyan maki hamun di Facebook. Malah jika dinasihati mungkin aku akan berkata 'alaaa... cakap senanglah suami kau bukan Firaun!' Ayat klise seperti yang biasa kita lihat di komen-komen.

Malah siap dihukum mati. Uisshh... tak tahulah jika aku mampu bersangka baik dengan Yang Maha Penyayang setelah diasak dugaan begitu. Mungkin aku sudah berkata wahai Allah, Engkau meletakkan aku di samping sejahat-jahat manusia.Patutkah Engkau menyuruh aku beriman kepadaMu? Atau mungkin aku sudah terjun laut.

Akan tetapi betapa Asiah berlapang dada, malah dia meminta siap-siap kepada Kekasihnya,

Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim. 66 : 11

Manusia manusia ini mampu hidup tak kiralah bagaimana layanan manusia lain terhadap mereka. Walaupun diperlakukan di luar hak asasi manusia. Mereka redha dan sabar kerana mereka faham betapa buruknya layanan manusia dan betapa seksanya dugaan ianya tidak, sama sekali tidak menghalang mereka dari syurga.


Nota : Berlapang dada itu suatu anugerah, ianya tentulah susah akan tetapi bukan mustahil kerana ada manusia yang memang kita tahu mampu berlapang dada.Wahai Allah yang memegang hati kami, lapangkanlah ianya untukMu.Amin

Dec 31, 2018

Entri 101 : Masa Depan



Masa depan itu untuk dicipta bukan diramal
Rancanglah dan bekerjalah
selebihnya bertawakal

Risau perkara-perkara yang tidak-tidak hanya membazirkan waktu hidup
Peruntukkan masa untuk berusaha, berehat dan berserah

Berserah itu seperti memaafkan
Belajarlah untuk let go perkara-perkara yang di luar jangkauan
Kerana kita manusia
Maka rancangan kita dibatasi oleh fitrah manusia
Kerja kita hanyalah setakat kemampuan makhluk

Serahkanlah selebihnya kepada yang Khaliq
Biarkan Dia memperbaiki kerja kita
Berdoalah agar hati menjadi tenteram
Moga moga masa depan kita lebih baik

Selamat tinggal 2018, tentunya kita tak akan berjumpa lagi.
Moga moga aku menjadi orang yang sentiasa belajar dan memberi.

Menara Binjai, Kuala Lumpur.

Dec 29, 2018

Entri 100 : Maaf


Maafkanlah dirimu sahabat jika setiap hari engkau awal tapi hari ini engkau lewat.

Maafkanlah dirimu jika selama ini kau bekerja keras tapi hari ini kau tidak berbuat apa apa.

Maafkanlah dirimu yang tadi terleka dan alpa 

Maafkanlah dirimu yang semalam yang melalui kegelapan

Maafkanlah dirimu moga moga kau mendapat kekuatan memaafkan orang lain


Maafkanlah moga moga  kemaafan itu  menjadi belas Tuhan ke atas mu di sana.

Dec 27, 2018

Entri 99 : Jam



Orang kata kalau nak melambatkan masa kita perlu cepat. Makin kita laju, masa makin lambat.

Kalau nak banyak masa kena gunakan sebanyak mungkin.Makin banyak guna , makin banyaklah masa.


Perkara yang paling jauh dan sentiasa makin menjauh adalah masa yang berlalu , maka hargai masa sekarang kerana walaupun hanya satu saat yang berlalu takkan kita dapat mencapainya.

Nov 6, 2018

Entri 98 : Kasih ibu

"Semalam mak tidur rumah tok.Mak kan dah berapa lama dah tak balik kampung. Dua bulan dah kut."

Emak bercerita."Mak tido dengan tok.Tok mu kapok mak.Mak rasa seronok behawa la."Ada sedikit terharu pada nada suara emak.

"Emak..."Nurindah gelak, terasa pelik bila emak yang berusia 60 tahun bermanja dengan nenek.

"Mak rasa seronok macam muha seronok bila mak kapok muha.Habis hati rasanya."

Anak walaupun seratus tahun umurnya tetaplah anak kecil pada pandangan ibunya.

"Ni mak nak tanya ni, bulan ni Along tak beri duit kat mak ka?"

"Dak mak oo.Along pinjam bulan ni nak bayar homestay boleh?.Bulan depan Along ganti.Okpa deh? Mak tak cukup ka bulan ni?"

"Dak mak pun kering gak bulan ni. Takpa lah. Mak ingat nak buat kuar lima ratus dari tabung mak. Mu rasa cukup dak?"

"Eh, tak tuh la mak."

"Ka mak nak kuar seribu?Takut mu tak cukup nak urus semua.Kut kut mu nak cuti takda gaji."

"Eh toksah mak.Along cukup inshaaAllah.Duit minyak Along boleh pakai credit card."

"Ya?Betul mu tamboh?"

"Iyaa.."

Emak. Dia tak pernah dahulukan diri dia.Semua anak anak dulu.Tak pernah dia berkira-kira.Tak apa kalau duit dia licin asalkan anak tak susah.Simpanannya adalah anak-anak. Tak ada ketakutan di masa depan kerana tak berduit. Dia lagi merana kalau anak-anak yang merana.


Ya Allah, jadikanlah aku anak yang soleh.
Yang boleh berbakti kepada kedua ibu bapa ku,
yang boleh memberi syafaat kepada mereka.

Amin.


Sep 10, 2018

Entri 97 : Doa

DIA TIDAK TAHU APA YANG DIFIKIRKAN.Fikirannya melayang entah ke mana.

Jalan dari rumah ke Masjid Wilayah tidak perlu guna Waze.Jalan yang sama dilaluinya dua kali seminggu sejak beberapa bulan yang lalu. Entah kenapa dia tidak masuk ke simpang yang sepatutnya tetapi terus ke Bukit Tunku yang sunyi sepi itu.

"You're perfect , you always looking for improvement."

Dia tidak tahu apa lagi personal development yang harus ditulisnya.

"Improve communication skills."Dia menulis.

"I never think you have communication skills, you communicate with us perfect."

Diam.Dalam hati, mungkin masalah kurang keyakinan.Selalu dia perasan orang tidak faham apa yang hendak disampaikan.

Sempurna.Sempurna itu subjektif, berbeza untuk setiap orang.

Hidup orang lain sentiasa nampak sempurna

Sedangkan...

setiap pagi dia berlatih senyum semasa mandi

setiap hari dia cuba luangkan masa untuk membaca.

setiap malam dia akan susun to-do list.

setiap detik dia berjuang.

Sempurna?

Adakah itu yang dicari?

Oh, walaupun dia kerja keras tapi tak kaya-kaya lagi.

Oh, walaupun dia berjaya tapi dia masih bujang.

Oh, walaupun dia kurus tapi perutnya buncit.

Walaupun....walaupun... mustahil nak dibuang dari pandangan mata orang lain.MUSTAHIL.
Kerana sesempurna mana pun Nabi masih dipandangan manusia ada saja yang salah.

Dia merenung papan visual yang digantung pada Januari lalu.Pertama kali dia membuat papan visual.Pertama kali dia nampak kebanyakan impiannya menjadi kenyataan.

Mungkin selama ini banyak mimpinya menjadi benar tetapi dia tidak sedar doanya dikabulkan.Aneh, tiba-tiba dia tidak ada perasaan.

Sesuatu yang pelikkah jika kita berdoa, merayu setiap hari sekali apabila kita dapat, kita tak rasa apa-apa?

Tidak.

Dalam dunia ini itulah yang berlaku.

Suami yang kau puja-puja dulu adalah orang yang paling kau benci sekarang.
Anak yang kau sayang-sayang itulah yang derhaka.
Emak yang bersusah payah melahirkan kau abaikan sedangkan kau sendiri tahu perit jadi ibu
Ilmu pengetahuan agama kau menggunung tapi tak membawa kau ke syurga

Penuh khianat.Penuh ujian.

Mungkin apa yang di papan visual itu bukan apa yang kau cari cari selama ini, bukan apa yang kau perlukan.

Tanyalah Allah apa yang kau perlukan.

Mungkin tak perlu minta sebab engkau sendiri pun tak tahu apa yang kau minta.Benarkah begitu?

"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina".-Quran 40:60

Celaka, lagak apa yang kau tunjukkan ini?

Hamba jenis apa yang merasa kecukupan sehingga tidak perlu meminta.
Hamba jenis apa yang menangguh doa hanya kerana tidak tahu meminta.

Cukup benarkah kamu sebagai hamba sehingga tidak tahu apa yang hendak diminta dari Tuhan?

Apa kecil sangatkah perbendaharaan Allah sehingga kamu perlu menimbang-nimbang apa yang diminta?

"Nur, you look dull today."Rachelle menegur.

"Huh?"

"You always cheerful and always get to work in the morning but not this morning.You always in high spirit.What happen?"

Senyum.Terima kasih.Itu tandanya dia tidaklah sesempurna mana.

Ya Allah, jadikan aku hamba yang sentiasa bersangka baik terhadap mu.Amin.


Aug 27, 2018

Entri 96 : Epal

Pagi di bulan May yang sungguh cerah.Seperti dirancang semalam Maria mahu menemani Nurindah ke Hampstead Heath Park.Lebih kurang tiga kilometer dari rumahnya, mereka melalui jalan jalan kecil di daerah Brent ini.

Sambil menikmati hiruk pikuk pagi mereka berbual-bual sepanjang jalan.Mungkin aneh akan tetapi Maria berminat tentang Nabi Muhammad s.a.w. Semalam dia bertanya bagaimana orang Islam sembahyang, maka Nurindah menunjukkan cara sembahyang secara ringkas kerana dia berada dalam keadaan haid.

"Oh, sekarang aku faham. Ketika kamu bersujud, kamu membuat hubungan dengan alam.Di saat itu kamu peroleh manfaat yang banyak."Komennya dari sudut faedah meditasi.

Nurindah mengangkat kening, tidak faham.Mungkin bahasa Inggeris bukan bahasa ibundanya, namun bagi Maria bahasa Nurindah lebih baik dari sesetengah tetamu yang menginap di rumahnya.
Latar belakangnya sebagai seorang psikoterapi membuatnya meneroka pelbagai kepercayaan Kristian, Hindu, Buddha dan Islam.

Dari situ Maria mengenali seorang lelaki yang mempunyai berbillion pengikut walaupun dia sudah wafat.Namun agama ini dicemari keganasan, ketidakadilan terhadap wanita.

"Berkahwin lebih dari satu adalah salah satu cara mengubati akan tetapi ianya seperti dadah terdedah dengan penyalahgunaan." Nurindah memberi komen saat dia bertanyakan pendapat Nurindah tentang perkahwinan lebih dari satu.Nabi Muhamad s.a.w pun berkahwin dari satu dan dari situ dia berasa hairan mengapa masih lagi pengikut wanita ingin mengikut agama lelaki yang mempunyai isteri yang ramai ini.

Di sana sini wanita dizalimi atas nama agama.Dahulu wanita diwarisi, anak-anak ditanam hidup-hidup kerana jahil.Di mana-mana sahaja di sudut dunia ini wanita adalah golongan kelas kedua, dilayan sebagai pemuas nafsu dan hanya sebagai penyambung zuriat.Setelah itu agama datang untuk membela, namun golongan golongan cilaka ini menggunakan agama pula untuk membenarkan kezaliman mereka.

Keganasan dan kezaliman tidak datang dari Islam tetapi datang dari manusia berhati setan.Sudahnya ramai yang tidak tahu tentang Islam menganggap Islam itu agama setan.

"Berapa orangkah anak Nabi?"Maria bertanya.

"Tujuh."Jawab Nurindah sambil mengira dengan jarinya.Lagu Anak Nabi Kita yang sering dinyanyikan di rumah tengiang-ngiang.Teringat suara Rifaie, Aqil dan Fahim ikut menyanyi.

"Tiga lelaki dan empat perempuan." Beritahu Nurindah."Anak anak lelaki Nabi semua mati semasa kecil, yang hidup hingga dewasa adalah anak perempuan." 

Maria mengangguk."Bagaimanakah layanan Nabi terhadap anak-anak perempuannya? Pendidikan mereka bagaimana?"

"Nabi digelar Bapa kepada Anak Perempuan.Dia seorang bapa yang baik walaupun di saat itu orang Arab jahilliyah melayan anak perempuan mereka buruk.Dia mendidik anak-anaknya sehingga mereka menjadi antara sumber rujukan masyarakat ketika itu."

Alangkah buruknya mereka yang menghalang pendidikan terhadap anak perempuan sedang anak anak Nabi terkenal dengan kepintaran mereka.Mereka berani membodohkan anak-anak perempuan mereka sedang Nabi mengajar anak-anaknya.

Mereka singgah ke sebuah pasaraya kecil dan Nurindah membeli beberapa biji epal untuk bekalan.Nurindah teringat saat dia berada di kawasan taman Istana Birmingham beberapa ekor tupai mendekatinya kerana dia membawa kacang.Mungkin kali ini dia akan berjumpa lagi haiwan-haiwan kecil ini.

Dia melalui bahagian daging, rupanya ada juga yang halal."Di sini adalah kawasan Yahudi dan Muslim jadi makanan halal atau kosher itu boleh didapati di mana-mana."Beritahu Maria.

Ya, banyak restoran Muslim di sini.Di luar pasaraya kelihatan beberapa orang berpakaian Yahudi sedang berbual-bual.Mungkin hari ini ada acara keagamaan.

Akhirnya mereka memasuki kawasan hijau Hampstead Park ini.Semuanya kelihatan hidup di musim panas.Ada yang berbaring di atas rumput sambil membaca atau hanya mahu menikmati cahaya matahari.Kawasan ini adalah antara yang terbesar dan terluas di London pemandangan menarik boleh dilihat.Musim panas adalah musim bersama keluarga.

Maria tidak tahan panas.Kulitnya sensitif.Tidak seperti mereka yang kelihatan menikmati matahari."Kamu kelihatan suka dengan matahari."Komennya bila melihat Nurindah berjalan seperti tidak ada apa-apa.

"Negaraku musim panasnya sepanjang masa."Jawab Nurindah bergurau,"Jadi kamu tidak akan melihat kami sunbathing kerana kami sudah jemu."

"Lihat burung itu, dari tadi ia mengikuti kita.Mungkinkah kerana kita berbual tentang Nabi kamu?"

Nurindah melihat burung tersebut, ya dia perasan burung tadi terbang seolah olah mengikut mereka. Tetapi langsung dia tidak terfikir tentang kebetulan yang terjadi.Sebagai seorang pengembara segalanya kelihatan baru dan menakjubkan.

Kredit Gambar


Mereka meneruskan perjalanan sehingga bertemu dengan sebatang pokok tumbang.Sesuai sekali untuk berehat sebentar sambil menikmati epal.

Baru menggigit tiba-tiba dua ekor anjing datang entah dari mana berlari ke arah mereka.Kelihatan teruja mahukan epal yang digigit.Mujur Nurindah langsung tidak panik, namun dia kaku seketika kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat apabila diapit oleh dua ekor anjing tersebut.Mata anjing tersebut bersahabat.

Di saat itu juga muncul seorang lelaki bersama empat kanak-kanak perempuan menuruti anjing-anjing tersebut.Ternyata anjing-anjing ini kepunyaan mereka."Minta maaf.Oh." Ucap lelaki tersebut bertalu talu sambil memanggil anjingnya.

Kelihatan anjing-anjing tersebut kelihatan berat untuk beredar.Lalu Nurindah memberi sebiji kepada kepada lelaki tersebut untuk diberikan kepada anjing-anjing tersebut.

"Terima kasih."Ucap lelaki tersebut sambil mengajak anak-anaknya beredar.

Dalam keadaan yang kelam kabut, sebiji epal terjatuh dari bungkusan dan bergolek ke tanah lantas dikutip oleh salah seorang anaknya.

"Itu untuk anjing." Kata Nurindah serba salah apabila anak itu kelihatan seperti mahu menggigit epal yang dikutipnya.Alamak, epal itu kan dah kotor.Mungkin terasa malu, anak kecil itu berlari menunjukkan epal tersebut kepada ayahnya.Anjing mereka bertuah kerana mendapat dua biji epal hari ini.

"Biar aku gantikan epal ini nanti."Tiba-tiba Maria menyampuk."Aku minta maaf, tapi aku lihat anak-anak tadi berebut epal tersebut."

"Silakan."Nurindah termalu sendiri.Malu dengan sikapnya yang kurang sensitif.

Maria memanggil mereka dan anak-anak itu berlari mendapatkan bungkusan epal.Ayahnya tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.

"Epal adalah buah kebiasaan di sini.Mungkin di rumah mereka tidak begitu menginginkannya tetapi bila masuk hutan semua jadi sedap."kata Maria berseloroh sambil melihat keluarga tersebut berlalu.

Anak-anak kecil ketawa bersama ayah dan haiwan kesayangan mereka - pemandangan yang indah.

Dia dan Nurindah masing-masing hanya memakan sebiji epal."Sekurang-kurangnya hari ini anak-anak tersebut berselera untuk makan buah.Terima kasih kerana prihatin.Aku langsung tidak perasan anak-anak tersebut."

"Sama-sama.Maaf kerana menghabiskan epalmu."

Nurindah memandang langit yang ditutup daun daun hijau di Hampstead Heath.Hari ini rezeki dia berkongsi epal bersama Maria. Anak-anak kecil tadi dan juga anjing-anjing mereka mungkin menikmati epal sepanjang perjalanan mereka.Mungkin nanti ada cerita menarik yang akan dikongsi apabila anak-anak tersebut pulang ke rumah.

"Nabi Muhammad mempunyai empat anak perempuan dan tadi kita bertemu dengan ayah bersama empat anak perempuan."komen Maria tiba-tiba.

Nurindah mengangguk.Kebetulan yang aneh.Hari ini dia juga tidak menyangka akan berkongsi epal dengan orang-orang yang tidak dikenali dan juga dua ekor anjing.

Aneh.
26 Mei 2018 - Hampstead Heath.


Nota :Tulisan ini diinspirasikan oleh sahabatku Maria yang sudi menemaniku berjalan di Hampstead Heath Park, London.