Mar 3, 2009

Entri 3 : Sedang pasir turut berubah

Hujan menitis laju di luar sana. Bunyi angin sesekali menerpa mengejutkan Nurindah yang sedang mengulangkaji.Siang tadi panas terik, seperti mahu terbakar kulit dibuatnya.Walaupun cuaca kadang-kadang tak menentu tetapi kesihatannya jarang terjejas.Tidak seperti waktu dia bekerja di bandar, dalam tempoh dua bulan pasti dia diserang selsema dan batuk.

Bunyi telefon bimbit , Nurindah segera mencapainya. Jarang telefonnya berbunyi apatah lagi waktu sudah hampir pukul sepuluh malam. Nombor yang tak dikenali.

“Hello.”
“Hello.”Kedengaran suara garau di hujung talian. Lelaki.

“Hello, siapa ni?” Nurindah menekapkan telefon rapat ke telinga.
“Amirul.”
“Amirul...”Ingatan Nurindah berputar-putar.Siapa Amirul?

“Kawan Aina.”Amirul memberitahu.

“Ooohh..” Baru Nurindah teringat Aina adalah salah seorang kawan yang dikenali ketika menghadiri acara gotong royong di masjid kawasan ini.Aina tinggal di rumah selang dua buah dari rumah Nurindah. Seorang jururawat yang bekerja di hospital berdekatan. Aina selalu juga menghubunginya mengajaknya keluar makan atau apa-apa urusan.

Tapi kebelakangan ini Aina jarang menghubunginya. Kadang-kadang Nurindah ada mengajaknya keluar tapi Aina selalu ada urusan.Jadi lebih kurang sebulan lebih Aina berhenti terus dari menghubunginya, cuma ada kala terserempak mereka hanya berbalas senyum, sudah jarang bertegur sapa.Nurindah sendiri tidak pasti kenapa mereka menjadi renggang, sangkaannya mungin Aina sudah mempunyai teman baru. Dia cuba bertanya jika Aina mempunyai masalah tapi Aina mengelak.

Pada firasatnya, ada sesuatu yang cuba disembunyikan Aina. Aina tidak mungkin ada masalah kerana selalunya dia akan bercerita pada Nurindah.Aina seperti mahu menjauhkan diri dari Nurindah.Nurindah sedar itu.Tetapi dia sendiri tak mampu bertanya apatah Aina sentiasa seperti mahu mengelak.Nurindah sedar yang dia cuma orang baru, dia sendiri tidak ada kawan untuk dipercayai.Jadi Nurindah fikir mungkin tidak ada saling kepercayaan antara satu sama lain menyebabkan mereka tak rapat.

Kepercayaan sangat memerlukan masa dan juga perasaan. Itu Nurindah sangat pasti.Jika Aina tidak dapat mempercayainya, malah selalu mengelakkan diri darinya apa lagi yang perlu dibuat. Jika orang tak sudi buat apa kita terhegeh-hegeh.

“Kenapa?Tak pernah pun awak call saya.”
“Nurin tau tak kenapa denga Aina?” Suara Amirul kedengaran gugup.

Nurindah mengerutkan dahi.Kenapa pula aku mesti jadi pusat rujukan? “Kenapa dengan Aina?”

“Dia berubah kebelakangan ni.Dia jarang call malah saya call pun selalu tak angkat.Kalau angkat pun banyak alasan.”

Masalah.Nurindah terdiam.Amirul juga seorang jururawat, sama-sama bekerja dengan Aina. Memang Nurindah tahu tentang hubungan Amirul dan Aina.Aina kata kawan, tapi segala urusan kalau boleh Amirullah tempat dia merujuk. Pergi dan balik kerja sama-sama. Malah jika ada mentol terbakar di rumah, si Amirullah yang dia cari.

Nurindah mengeluh. Ini sudah bukan kawan punya kes. Rasanya semua bermula sejak Amirul berpindah tempat kerja, di negeri lain. Dalam enam bulan lebih mungkin.Aina ada juga merungut tapi Nurindah tak mengendahkannya walaupun dia pasti hubungan mereka berdua mungkin lebih dari kawan tapi Nurindah memang tak mahu masuk campur.

“Jadi?” Nurindah sedar sepatutnaya dia tidak menyoal Amirul begitu.
“Jadi saya tak tahu nak buat macam mana? Sebab tu saya call Nurin.”
Nurindah mengetap bibir.Diam.

“Kami berkawan sejak belajar lagi Nurin.Tiba-tiba saja dia berubah tentulah saya rasa pelik.Bukan sehari dua saya kenal dia.”

Jadi apa lagi aku?Aku kenal dia tak sampai setahun.Tidak ada apa yang boleh aku bantu.
”Minta maaf.Saya pun tak tahu.” Nurindah menjawab.

Jika dia tahu sekali pun dia tak dapat menolong banyak. Nurindah selalu mengelak dari masuk campur hal-hal cinta orang lain apatah lagi jika mereka bukan dari kawannya yang rapat.Dia tak mahu menangguk di air keruh dan juga tak mahu terlibat. Dikhuatiri masalah akan bertambah teruk, apatah lagi orang bercinta ini selalunya buta.

Selalunya niat menolong disalahertikan, jadi lebih baik dia menjauh.Pandai bercinta pandailah selesaikan.Baginya mereka patut berhadapan dengan masalah dari menggunakan orang tengah.Orang tengah adalah pilihan terakhir. Selalunya kalau jadi benda buruk, orang tengah juga disalahkan.

Nurindah mendengar keluhan Amirul.”Amirul awak sabar lah ya. Jika jodoh awak dengan Aina tak ke mana.” Nurindah cuba menasihatkan.Namun dia sendiri tak pasti. Jika Aina seorang yang jujur memang bertuahlah Amirul jika memilikinya, bagaimana pula kalau tidak?Ahh..Soal jodoh ini memang kompleks.

Keluhan Amirul semakin berat. “Tak apalah Nurin.Terima kasih.” Telefon bimbit dimatikan.Kecewa benar nampaknya.

Kasihan.Nurindah mencampakkan telefon ke hujung meja.Cinta manusia sentiasa berubah. Dan manusia sentiasa mencari alasan untuk merubahnya. Ada alasan untuk jatuh cinta, ada alasan untuk membuang cinta.Benarkah?

Benarkah ada alasan untuk cinta?Jika ada orang jatuh cinta tak kira betapa jauhnya jarak, maka akan ada orang yang melupakan cinta kerana jarak. Malah ada juga yang bercinta dan kemudian membenci hanya kerana satu alasan yang sama.

Nurindah jadi bingung.Dia sendiri tidak pernah bercinta malah takut memikirkan bagaimanalah nanti otaknya akan mentafsirkan erti cinta.Adakah aku akan jadi biul dan buta juga?Rasanya bila orang jatuh cinta, ianya adalah sebab mereka jatuh cinta dan apabila mereka putus ianya kerana mereka berhenti menyintai.Bukan kerana alasan seperti kekayaan, kecantikan dan pelbagai. Semudah itu kah?Tetapi manusia mahu mencipta alasan sebanyak mungkin hanya untuk mengelakkan diri dari nampak bersalah.

Malam bertambah sunyi apabila hujan berhenti dan Nurindah tertidur dengan pelbagai persoalan tentang cinta di kepala.

No comments:

Post a Comment