Apr 23, 2009

Entri 5: Teman Sejati

Jam menunjukkan pukul sembilan malam, waktu kelasnya bermula. Nurindah membelok keretanya mencari parkir.Terdapat dua bas memarkir di  Rumah Anak-anak Yatim Mawaddah. Khemah dipasang di atas tempat parkir yang biasa Nurindah guna.

Nurindah mengerutkan dahi melihat ramai orang riuh rendah beratur mengambil makanan. Ada pesta apa malam ini?Rasanya tiada siapa yang memaklumkannya.

Habislah.Nurindah sedikit cuak dengan penampilannya, hanya berseluar sukan, bert-shirt merah dan tanpa secalit bedak di muka.Terasa dirinya diperhatikan oleh ramai orang yang berbaju kurung, malah si lelaki siap segak bersampin.

“Eh, cikgu.” Najiha salah seorang dari penghuni asrama Mawaddah menegurnya.

“Heh.”Nurindah menggaru kepalanya.”Ada apa malam ni?Cikgu datang sebab ada kelas.”

“Malam ini ada program kemasyarakatan dengan universiti dekat sini.Marilah cikgu, kita makan.” Najihah mengajaknya.

Nurindah tersipu-sipu.Aku ini tetamu yang dijemputkah?Jika aku makan, buatnya makanan tak cukup bukankah sudah termakan makanan yangsepatutnya untuk anak yatim.

Nurindah menggeleng. “Seganlah.Lagi pun tengoklah, baju cikgu tak masuk majlis.”

“Alaa...Kalau cikgu sudi cikgu boleh pakai baju kami.” Asma, rakan Najihah cuba memujuk.

Baru Nurindah perasan mereka memakai baju kurung biru, sesetengahnya memakai baju kuning.

“Apa beza baju kuning dan biru?” Nurindah bertanya ingin tahu.

“Baju biru baju rasmi.Baju kuning tu untuk budak-budak yang masuk nasyid.”

“Waahhh..” Nurindah teruja, teringin benar rasanya melihat persembahan warga Mawaddah.

“Eh...”Kak Yam menjengul kepala dari pintu dewan, terkejut melihat Nurindah.

“Saya tatau pula ada majlis malam ni.” Nurindah memberitahu.

“Alamak.Kak Yam terlupa pula nak beritahu Nurin.” Kak Yam rasa bersalah.Sibuk menguruskan asrama sehingga  terlupa memaklumkan Nurindah.

“Cik Yam, boleh tak cikgu sertai kita?” Najihah bertanya, seakan meminta izin Kak Yam.Kak Yam diam, cuma tersenyum.

“Tu bolehla tu.” Asma menarik tangan Nurindah.”Mari makan.”

“Tak apa.Cikgu kenyang.” Nurindah memberi alasan, sebenarnya dia takut kerana makanan itu tentunya tak ada peruntukan untuknya.

“Alaaa..makanan banyak.” Najihah mendesak.

Nurindah tersenyum, perlahan dia menggeleng. “Tak apa.Cikgu nak tengok budak-budak berlatih nasyid.”

Selama ini kumencari-cari
Teman yang sejati buat menemani
Perjuangan suci

Bersyukur kini padaMu Illahi
Teman yang dicari selama ini
Telah kutemui

Dengannya di sisi
Perjuangan ini
Senang diharungi
Bertambah murni
Kasih Illahi

KepadaMu Allah
Kupanjatkan doa
Agar berkekalan
Kasih sayang kita

Kepadamu teman
Ku pohon sokongan
Pengorbanan dan pengertian
Telah kuungkapkan
Segala-galanya...

Suara mereka mendayu-dayu menyanyikan lagu itu yang dipopularkan oleh kumpulan Brothers.Nurindah tersenyum, lagu itu popular sewaktu dia di sekolah menengah.Alangkah bagusnya jika masa boleh diputar semula.

“Eh, cikgu datang!” Baiti menghampirinya.Baiti yang baru darjah lima kelihatan comel dengan sedikit solekan.”Ada kelas ke malam ni?”

“Humm...kenapa?Kamu nak belajar ke?”Nurindah mengusik. Baiti tersipu-sipu.Walaupun baru darjah lima, Baiti suka berkawan dengan penghuni-penghuni yang belajar di sekolah menengah.Dia kelihatan tidak sabar untuk menjadi dewasa.

“Baiti tak masuk nasyid ke?” Nurindah bertanya.

Baiti menggeleng.”Cikgu tak makan ke?”

“Cikgu kenyang.”Nurindah menolak.”Kamu pergilah makan.”

Mereka beredar meninggalkan Nurindah sendirian di bilik kaunseling yang juga bilik latihan nasyid.

Majlis berjalan dengan lancar. Sukaneka, persembahan dan pelbagai lagi membuatkan masa berlalu dengan cepat.Nurindah sendiri turut membantu apa yang patut.

“Nah ini untuk cikgu.” Seorang pelajar universiti  menghulurkan bag berisi cenderamata kepada Nurindah

“Eh,”Nurindah cuba menolak.

“Tak apalah,cikgu ambillah.”Pelajar itu mendesak.

“Terima kasih.”

Sebelum pulang Nurindah sempat berbual-bual dengan pelajar-pelajar tersebut. Pukul satu pagi baru dia sampai di rumah.

Penat tapi seronok.Nurindah sudah lama tidak memenuhi masanya dengan perkara-perkara sebegini.Sebelum tidur, lagu nyanyian penghuni-penghuni asrama  bermain-main di kepalanya.

Alangkah indah hidup jika ...

Dan Nurindah tertidur.

 

No comments:

Post a Comment