Feb 10, 2010

Entri 19 : Logik

Dia bangun paling awal, menyediakan makanan, membasuh pakaian, menyiapkan anak-anak, bersiap untuk bekerja.

Dia tidur paling lewat dalam keadaan penat lelah, langsung tidak berkira walaupun suami tidak pernah peduli. Dia taat.

Penyabarkah dia? Bodohkah dia ?

Kalau wanita lain belum tentu dapat bertahan, mungkin sudah turun naik mahkamah untuk bercerai.

Cinta benarkah dia pada suaminya hingga jadi buta begitu?

Saat dia membancuh kopi pekat waktu petang untuk suami yang tak pernah berterima kasih, si anak bertanya, " Kenapa ibu buat semua ni?"

Si anak tidak faham, jika mahu diikut logik, si ibu patut sudah lama meninggalkan ayah. Ibu jadi suri rumah, ibu juga bekerja untuk keras untuk anak-anak. Semuanya, ibu atau bapa , ibu yang tanggung, jadi buat apa ibu setia dengan ayah ? Pelik . Bukankah tak logik?

Paling tidak ibu tak perlu ambil kisah tentang perkara-perkara kecil ayah seperti kopi , baju.Ayah tak pernah ambil peduli tentang ibu, kenapa ibu pula beria-ria ambil peduli tentang ayah.

Anak makan hati dengan sikap ayah, tapi ibu kebal. Seperti tiada apa berlaku.

Kenapa ibu jadi begitu? Cinta benar rupanya ibu pada ayah.

Ibu merasa kopi yang mahu dihidangkan untuk ayah, setelah berpuas hati dia menyusun cawan elok-elok untuk ayah. Kemudian dia memandang sang anak yang merenungnya dari tadi.

Dia tahu anaknya fikir dia gila, mungkin buta, mungkin keras hati, atau mungkin sudah berputus asa tentang hidup dari dulu , jadi mungkin dia seorang penyerah.

"Bukan pasal cinta." Dia menjawab. "Cuma ibu takut...jika suatu hari nanti lepas ibu mati, ibu takut ibu ditanya tentang tanggungjawab. Apa yang ibu nak jawab nanti?"

"Alahh...ayah tak fikir pasal tu pun. Kenapa ibu takut?" Sang anak menjawab.

Ibu cuma mengeluh perlahan, anaknya masih belum mengerti. "Kamu akan faham nanti. Selepas kamu kahwin dan ada anak kamu akan faham." Dia tersenyum.

Si anak terdiam.Dia cuma takjub kerana dia mempunyai ibu yang pelik. Dia takkan menjadi seperti ibunya, dia takkan biarkan dirinya dibuli. Itulah yang difikirkan.

Si ibu cuma tersenyum, anaknya masih belum mengerti.

No comments:

Post a Comment