Jul 14, 2010

Entri 29 : Si Mata Biru

Nurindah membelek kasut satu demi satu. Dia mahu membuang masa, malas rasanya balik ke rumah.Masih lagi awal, dia bosan.
Seorang kanak-kanak perempuan berambut emas,bermata biru berlari-lari anak di sekitar rak-rak kasut.
Teguran sang ayah cuma disambut dengan gelak mengekek.Langsung tidak dihiraukan.Ibunya juga leka membelek kasut.
Bukan orang Malaysia, teka Nurindah apabila mendengar perbualan mereka.
Tiba-tiba kanak-kanak tersebut menerpa dan berdiri betul-betul di hadapan Nurindah. Matanya yang biru bersinar-sinar.Nurindah cuma tersenyum, berbasa basi.
Kanak-kanak tersebut menghulurkan tangannya, membuka genggaman , terdapat sebiji gula-gula berwarna oren. Mahu diberikan kepada Nurindah.
Nurindah tercengang tidak tahu berbuat apa.Lama si mata biru itu merenungnya ,genggaman tangannya masih lagi terbuka dengan gula-gula bulat yang masih lagi di situ.
Perlahan Nurindah mengambil gula-gula tersebut.Budak itu tersenyum, menampakkan baris gigi yang putih melepak.Ketika itu juga sang bapa menghampiri anaknya, menepuk bahu anaknya sambil tersenyum.
Nurindah berlalu,meninggalkan mereka. Saat dia menikmati gula-gula yang manis-manis kenyal itu dia terfikir, jikalah semua manusia belajar dari kanak-kanak.Sentiasa positif dan terbuka, dan jikalah dia juga boleh menjadi seperti anak yang bermata biru itu.

No comments:

Post a Comment