Jan 3, 2011

Entri 36 : Terasa dihukum

Acapkali tatkala mendengar berita yang sedih-sedih, ramai yang membuat analisis dan kemudian menjatuhkan hukuman.Lihat, jika ada berita bencana alam, kita akan terdengar, "Itulah bala dari Tuhan.Tuhan sudah marah."

Memang ada baiknya menganggap begitu, kerana kita akan mengelak berbuat perkara yang dilarang.Tetapi siapa kita untuk membuat konklusi sama ada Tuhan marah atau sayang.Contoh yang lain,

"Lihat, hidupnya mewah dan kaya raya.Tuhan sayang sama dia."Bukankah ayat ini membuatkan orang miskin seolah-olah dibenci Tuhan.Jarang kita kata,"Tuhan mengujinya dengan harta, semoga dia menjadi orang yang bersyukur." Jarang sekali bukan?

Kita meletak kasih sayang Tuhan seperti itu, apabila diberi kesenangan bererti kita disayangi dan apabila ditimpa kesusahan kita terasa dibenci.Tahukah kita para nabi kebanyakannya menghadapi hidup yang susah? Cuba bayangkan jika ada orang yang menderita sakit seperti Nabi Ayub a.s , mungkin kita akan melabelkannya sebagai orang yang dibenci Tuhan ...dan kita akan berkata,"Adalah salah yang dibuat sampai Tuhan menghukum dia begitu." Kita lupa bahawa nikmat atau kesusahan itu tak semestinya hukuman tetapi ianya adalah ujian.

Harta kekayaaan, anak dan keluarga, ilmu dan kebijaksanaan semua itu ujian dan akan ditanya oleh Tuhan di hari pengadilan kelak. Berapa ramai orang kaya menghina orang yang miskin, pandai menghina yang bodoh , yang berkahwin menghina mereka yang bujang tanpa menyedari walau di mana pun kedudukan kita, kita akan disoal? Kita dengan senang hati menganggap diri kita dimuliakan Tuhan dan menganggap orang lain dihina Tuhan, alangkah kejinya kita.

Ingatlah, kita diuji . Samada kedudukan kita baik atau tidak di dunia ini, ianya hanya ujian.Keputusan yang jelas hanya selepas kita mati.Di sana, yang miskin belum tentu ke neraka dan yang kaya belum pasti ke syurga. Yang berkahwin beranak pinak di dunia mungkin akan bersendirian di sana. Yang dianggap bodoh di dunia mungkin sebenarnya ahli syurga.Di dunia tempat kita beramal sebaik-baiknya kerana transaksi kita di akhirat bukan dalam bentuk matawang atau paras rupa tetapi amalan yang baik dan jiwa yang ikhlas.

Tuhan berilah kami kekuatan jiwa dalam menghadapi ujian Mu. Amin

No comments:

Post a Comment