Sep 6, 2011

Entri 46 : Abi Bahagian Satu - Kurniaan dari Jauh

"Kak, kami bawa balik kucing bulu panjang dari Kelantan."

SMS diterima.Gambar-gambar anak kucing yang dikirim adik direnungnya.Comelnya makhluk Tuhan ni, ada putih, kelabu dan yang bertompok.

Sehari kemudian, sewaktu Nurindah di pejabat, lagi sms diterima. "Kakak tolong.Seekor dah mati.Tak mahu makan."

Nurindah teringat anak-anak kucing dahulu, yang sekarang sudah besar.Mereka dulu kecil lebih kurang sebulan dibuang tanpa ibu.Semalaman Nurindah dan ibu tak dapat tidur dek tangisan anak-anak kucing yang kelaparan.Disuap susu tak mahu.Mahu pecah kepala memikirkan apa yang perlu diberi sampai suatu pagi dia terus ke kedai runcit dan mencari makanan kucing dalam tin.Ketika diberi, anak-anak kucing tersebut gelojoh menghisap dan syukurlah mereka hidup sampai sekarang.

Mungkin anak-anak kucing yang baru ini mempunyai masalah yang sama.Nurindah turun ke pasaraya berdekatan pejabat.Dibelinya empat lima paket makanan kucing yang lembut.

Apabila sampai di rumah, terus dibukanya makanan kucing yang baru dibeli, disuapkan pada anak-anak kucing. Bersungguh-sungguh benar mereka makan.Lega.Mungkin peluang untuk mereka hidup masih lagi tinggi.

Yang jantan berwarna kelabu dinamakan Abu dan yang betina berwarna putih dinamakan Abi.Abi mempunyai sepasang mata yang berlainan warna.satu kuning  dan satu lagi biru.Dibandingkan dengan Abu, Abi kelihatan kurang selera makan dan kurang cergas.

Seminggu berlalu, keadaan berubah apabila Abu jatuh sakit."Bagaimana ni?" Emak risau.Abu adalah antara kesayangannya.Nurindah juga panik, beria dia mencari di internet.Mungkin ada di antara manusia yang mengalami masalah yang sama dan baik hati berkongsi di internet.Abu cirit birit teruk, dan dia sudah hilang selera makan.

"Jangan beri makan ikan, cuba ayam rebus." Antara solusi yang dijumpai di Internet.
 "Beri minum banyak air, dan kurangkan kuantiti makanannya."
"Kemungkinan cacing, jumpa doktor dan beri makan ubat cacing"

Tapi sudah terlambat.Abu dalam kesakitan bukan kerana sakit perut lagi, tetapi kerana nafasnya sudah sampai ke hujung.Berilah apapun sudah tidak berguna.Pagi itu Abu menghembuskan nafas terakhir.Ibu menggali lubang dan mengebumikannya dengan linangan air mata.

Tinggallah Abi sendirian.Mungkin dia sendiri tertanya-tanya ke mana perginya adik beradiknya yang lain.Kenapa dia ditinggalkan?



Dari Allah kita datang, dan kepada Dialah kita pergi.Kita terikat dengan hukumNya samada kita sedar atau tidak.

No comments:

Post a Comment