Nov 1, 2011

Entri 50 : Paling malang

Nurindah membuka mata, mukanya lenguh kerana tersembam di atas komputer riba.Dia terpisat-pisat di atas katil, dikerling ke arah jam.Sudah pukul 8 pagi.

Tapi dia malas, dia tertekan kerana memikirkan semalam dia balik dari pejabat pukul 12 tengah malam, kemudian sampai di rumah terus on kan komputer riba, sambung kerja di atas katil.Tahu-tahu dia tertidur, tahu-tahu dia terjaga berbantalkan komputer ribanya.

Pendakap giginya yang tertanggal sejak hari Ahad lalu, masih belum dibetulkan.Gusinya yang bengkak sejak hari Ahad hari itu belum lagi dirawat.Hari ini hari Selasa, maknanya sudah dua hari dia bekerja sambil menahan sakit.

Sudah hampir berbulan dia bekerja kuat, bukannya tak biasa tapi selalu.Dia bosan...penat dan letih.Apa tujuan hidup sebenarnya?Tidak cukupkah masalah keluarga yang melekat dengan dirinya, kini hidupnya ditambah dengan bebanan kerja.Boleh ke dia berhenti?Sampai bilakan hidupnya akan begini?

Jika dia berhenti, siapa yang mahu menanggung keluarganya?Takkan mahu menyusahkan adik beradik yang lain walhal dia yang sulung.Kemudian soalan yang sama lagi berulang, kenapalah nasih aku begini?Tak cukup malang lagi ke?

Dia ke pejabat dengan hati yang culas.Tidak cukup tidur, muka penat dan lebih tua mungkin 10 atau 15 tahun dari usia.Jika dia berkahwin, mungkin sudah lama suaminya cari lain.

Sampai di pejabat, dia dihujani dengan soalan dan tugasan padahal dia tidak sempat menjamah sarapan lagipun.Ahh.. kenapa semua mesti tanya aku? Mahu ditelannya rakan sekerja, tapi ianya sudah pastilah bukan makanan halal.

"Baik, nanti saya tengokkan."
"Bukankah hari tu saya dah beritahu sebabnya.."

Semua jawapannya berbaur kemarahan apabila disoal.Terasa seperti dia seorang sahaja yang kerja bagai nak mati, orang lain tidak.Padahal siapa tahu tentang hidup mereka.Nurindah sedar yang anginnya sangat teruk.Akhirnya-

"Saya mahu ke klinik.Sudah dua hari gigi saya sakit."Nurindah capai beg, dan keluar.Jika mahu disabarkan lagi, takut nanti ini menjadi penyebab dia menjadi pembunuh.

Di klinik, pendakap gigi dibetulkan.Sudah dua kali tertanggal, nak marah juga bila difikirkan.

"Gigi anda bergerak.Cuma kena sabar ya."Ayat doktor pendek dan ringkas.Pendakap gigi tertanggal -benda buruk.Gigi bergerak - benda baik.Maka bersabarlah.

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,  (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Al-Quran-94(5-6)

1 comment:

  1. "Mahu ditelannya rakan sekerja, tapi ianya sudah pastilah bukan makanan halal."
    hahah comelnye nurindah ni!

    ReplyDelete