Nov 20, 2011

Entri 51: Bapa Sebenar

Dia membesar dengan melihat cacian bapa kepada ibunya.Dia membesar dengan duit hasil titik peluh ibu, saat ayahnya lebih mementingkan tembakau.

Dia bersekolah dengan wang zakat dan hutang  hasil muka tembok ibunya.Saat ayahnya berkata, "Ahh..tak ada duit buat apa bersekolah!"

Dia melihat ibunya, sang isteri ditengking pembawa sial saat bapanya cuma tidur.

Dia melihat dia menyaksikan.Sehingga dewasa, saat dia mahu membela ibu.Bapanya berkata,"Cilaka kamu.Masuk kamu ke neraka kerana berkelahi dengan aku."

Bapanya mengungkit tentang pondok yang mereka duduki.Mengungkit tentang bil api dan air yang dibayar.Mengungkit beras sekampit.Mengungkit tentang tanggungjawab padahal kenapa dia kahwin jika dia merasakan menyediakan rumah untuk isteri itu susah, membela anak-anak itu susah.

Si anak terfikir, kami sudah berpuluh tahun berlapar kerana bapa tidak membeli beras.Kami bersekolah , makan dan hidup dengan duit penat lelah ibu, saat bapa tidak mahu masuk campur.Malah makan minum bapa pun kebanyakannya ibu yang tanggung.Patutkah dia mengungkit beras yang baru dibeli sejak beberapa tahun yang lalu?

Anak sulung cuma disara hampir tingkatan lima.Anak-anaknya yang lain tak disara, malah urusan kemasukan, pibg semua ibu yang buat.Ibu yang penat turun naik pejabat zakat.Ibunya berjalan kaki berpuluh kilometer ke sekolah untuk urusan , tidak menahan teksi kerana duit yang ada cuma cukup untuk yuran.

Saat anak-anak sudah besar, sudah berjaya, tiba-tiba bapa tersedar dari mimpi.Tiba-tiba mahu menguasai anak.Tiba-tiba membuat sesuatu sesuka hati dan tiba-tiba berkata kepada anak,"Hei, aku ini bapa kamu!"

Sedangkan di mana dia selama ini? Dia mula menyalahkan isteri saat anak-anak melebihkan ibu mereka dalam segala hal.Dia mula menuduh anak-anak yang bukan-bukan, malah menuduh ibu penghasut,tak berguna, sial.

Yang menyedihkan, di hadapan orang ramai dia bertakabur.Konon dialah bertanggungjawab atas kejayaan anak.Isteri dihina-hina di depan orang.Hampir 13 tahun dia mengabaikan mereka, walaupun mereka di depan mata.Dia tidur saat mereka menderita.Dia menghembuskan asap rokok, saat anak-anak berlapar.Tidak siapa tahu, hatta ibunya sendiri atau pun ibu mertuanya kerana sang isteri sedaya upaya berahsia demi menjaga rumah tangga mereka.

Orang ramai tak tahu, dia yang mungkin bakal menjadi imam di suatu kampung adalah orang yang langsung tidak dihormati di dalam keluarganya.Anak-anak cuma memendam rasa kerana hukum agama dan memikirkan dia orang tua.Bila difikir-fikirkan, zaman sekarang ramai yang mengaku mereka baik padahal mereka itu buruk akhlaknya.Ramai tong kosong.

Dan bila anak ditanya,"Hei bila kamu mahu kahwin?"

Anak yang sudah lanjut usia ini terfikir, saya tidak pernah nampak sunnah perkahwinan.Maaflah.

No comments:

Post a Comment