Oct 3, 2013

Entri 64 : Asing

Kebelakangan ini semuanya terasa sempit, sesak dan rimas.Tekanan membunuh rasa bersyukur.

Masalah peribadi menerpa, kerja di pejabat menimbun.Masa ini juga , ada isu dalam sistem.Nurindah mengeluh, kerjaya sebagai jurutera perisian memang antara bukan kerjaya isteri idaman.Siapa mahu isteri yang kerjanya tidak tentu, balik rumah pun kadang-kadang menatap komputer.Siapa mahu?

 Ah, mungkin  kerana dia bujang jadi semua kerja ditugaskan untuknya.

'Kamu kan bujang, jika kamu balik awal pun buat apa?Macam kami ni dah kahwin, susah...banyak benda perlu diuruskan.Anak isteri perlu dijaga.' 

Rasa mahu ditampar saja suara yang berbunyi itu.Jika bujang ini hidupnya sangat mudah kenapa kamu tergedik sangat mahu kahwin dulu? Berontaknya dalam hati.Kalau kahwin sekadar mahu lari dari tanggungjawab,mana pergi keberkatan.Aneh pula ya bila syarikat mengadakan  business trip ke luar negara, pandai pula menawarkan diri.Berbulan pun tak apa.Ke mana pergi anak isteri yang dijadikan isu dulu?Sepatutnya dahulukanlah mereka yang bujang-bujang ini kan?

Ugh...dia balik lewat lagi,ini pun dikira awal dari hari-hari sebelumnya.Kebelakangan ini susah benar mendapat parkir di kawasan perumahannya.Minta-mintalah ada satu.Dia berdoa sambil memandu ke kawasan rumah.

Damn!.Ada kereta menghalang jalan di depan.Aduh, tanpa pemandu pula tu.Mungkin pemandunya sedang mendengar ceramah di surau berhampiran.Nurindah memanjangkan kepalanya, kenapa kereta ini menghalang jalan?Rupanya, ada pembaikan kawasan parkir di hadapan.Patutlah.

Sekarang dia perlu patah balik dan keluar, tapi bukan semudah itu.Kiri kanan dan di hadapan ada kereta,sangat sempit.Di belakang pula jalan untuk kereta masuk.Malah sudah ada beberapa buah kereta yang mahu masuk tetapi setelah menyedari tiada parkir mereka berpatah balik.
Bagaimana?Maka terpaksalah dia mengalihkan keretanya sedikit demi sedikit.Berpeluh dia memusingkan stereng sedikit demi sedikit.Ah, sempatkah dia solat Maghrib ni?Ya Allah...

Seorang lelaki tua berdiri di hadapan sebuah kereta yang diparkir beberapa meter dari belakang sebelah kiri  kereta Nurindah.Tegak merenungnya.Apahal pakcik ni?Mungkin pakcik itu mahu memastikan samada kereta yang sedang dialih dengan susah payah ini tidak melanggar kereta-kereta yang berdekatan.

Hummm..membuatkan Nurindah berasa cuak ketika mengawal kenderaannya.Pakcik itu masih di situ, tidak berganjak. Akhirnya, Nurindah berjaya memusingkan keretanya dengan selamat.
Dia berhenti sejenak.Dalam kepalanya memikir, mahu parkir di mana?Kalau di luar terpaksalah dia membayar yuran parkir, itupun jika parkir masih lagi ada.Rasanya tak ada kerana sebahagian parkir di dalam kawasan perumahan ini dalam pembaikan.

Dalam keadaan dia termenung memandang di hadapan, pakcik yang tercegat dari tadi tiba-tiba melambaikan tangan.Kemudian dia menepuk bonet hadapan sebuah kereta di belakangnya.Lantas dia masuk ke dalam kereta tersebut, dan memandu keluar.

Oh,rupanya dia memberi isyarat, 'Saya mahu keluar, ambillah parkir saya ini.'Rupanya dia menunggu dari tadi semata-mata mahu menyuruh Nurindah parkir di tempat keretanya.Padahal keretanya langsung tidak terhalang oleh kereta Nurindah, dia boleh sahaja terus keluar tanpa menunggu Nurindah keluar dari kawasan tersebut, dan jika dia keluar tanpa menunggu Nurindah, pasti sahaja parkir tersebut akan diambil oleh pemandu lain dek kerana kekurangan parkir.

Subhanallah , Alhamdulillah...Nurindah memandu keretanya ke tempat parkir tersebut.Terharu dengan kebaikan pakcik tua tersebut.Padahal mereka saling tidak mengenali.Kebaikan spontan itu membuatkan Nurindah malu sendiri.

Nurindah berlari ke flat 11 tingkat, melalui kawasan pembaikan parkir yang dipenuhi lelaki asing.Banyak yang tidak berbaju, berpeluh bekerja bertungkus lumus membaiki kawasan dari siang tadi mungkin.Bahang bitumen terasa hangat dengan baunya yang tengik menusuk hidung Nurindah.Dia berlari...tidak peduli.

Sampai sahaja di rumah, dia menunaikan solat Maghrib kemudian diikuti solat sunat dua rakaat.Malu pada Allah.Saat dia mengomel sana sini, dia sentiasa dijaga tanpa disedari.

Wahai Allah , Tuhan yang megawal hati semua manusia.Jadikan aku hamba yang bersyukur dan lindungilah aku sentiasa.Amin.

Matanya terasa basah tiba-tiba.

No comments:

Post a Comment