Dec 30, 2013

Entri 66 : Ais kerim

"Kamu nak pergi tak kenduri rumah besan tok kamu?" Emak pagi pagi lagi sudah menyoal.

"Ughh..."Nurindah mengeluh, besan nenek punya kenduri pun perlu pergi?Hatinya malas.Hari Ahad, tiba-tiba dia terfikir, alangkah enaknya berlingkar di depan tv sambil makan biskut.

Malas...paling malas pergi kenduri kahwin.Malas sebab hiruk pikuk, malas juga sebab selalunya dia akan ditanya,"Bila kamu nak kahwin?".

Pagi Ahad, dia memberi ayam itik makan, menolong emak menanak nasi.Semangat benar emak mahu ke kenduri."Biar semua kerja rumah siap, baru seronok nak berjalan."

"Kamu betul tak mahu pergi kenduri?"Emak bertanya lagi.Pukul sebelas pagi, emak sudah mandi dan bersiap.

"Okay."Nurindah menyahut malas.Digagahi juga pergi kenduri.Dia betul-betul malas bila ramai orang, tak kira lah konsert ke, pasar malam ke, kenduri ke.Tetapi mengenangkan azam tahun ni, antaranya adalah memenuhi jemputan kenduri saudara jika tidak ada aral, maka digagahi juga.Adakah azam sebegitu?

Hampir pukul satu tengah hari.Suasana kenduri kampung memang riuh.Bentara-bentara sesetengahnya mengenakan vest sibuk memastikan majlis berjalan lancar.Ada yang membuat barisan untuk menghantar hidangan ke tempat jamuan, ada yang membasuh pinggan, mengelap meja, ada yang jadi mata-mata melihat meja mana yang perlu ditambah lauk.

Nurindah duduk semeja dengan emak.Tatkala Nurindah melicinkan gulai daging batang pisang, seorang bentara menjerit."Meja ni tambah lauk lagi!"

"Eh,tak apa.Saya sengaja habiskan supaya mudah nanti nak cuci pinggan."Nurindah jadi tersipu-sipu.

Setelah bersalaman dengan sesiapa sahaja yang emak salam , mereka beredar dari rumah kenduri.Seperti biasa, penjual ais kerim adalah antara orang yang paling popular ketika kenduri kahwin.

"Along nak beli ais kerim ni, mak nak?"

"Nak."Jawab emak sambil tersengih seperti budak kecil.

Nurindah ikut berkerumun bersama kanak-kanak yang lain."Sabar...sabar..."Penjual ais kerim itu berkata sambil cuba memenuhi permintaan kanak-kanak.Satu kon ais krim berharga 50 sen.

Ketika Nurindah memesan ais kerim dia sempat menjeling ke arah emak.Emak berbual dengan sepupunya sambil dikerumuni oleh anak-anak sepupunya itu."Ahh... sudah.Bagaimana mahu dibawa ais kerim ni kepada emak?Nanti anak-anak itu pasti mahu sekali."Nurindah tiba-tiba runsing.Busuk hati.

Tatkala Nurindah melangkah , kedengaran emak berkata,"Ambillah duit ni Ila, bagi kat budak-budak ni.Ambillah beda-beda beli ais kerim."Emak menghulurkan duit sedang Kak Ila menolak."Isk..tak payahlah Mak Ndak."

"Ambillah..bukan untuk kamu.Untuk budak-budak ni.Kasihan nanti kalau asyik tengok orang lain makan."

Nurindah malu...malu dengan dirinya yang busuk hati.Kak Ila senyum apabila Nurindah menghampiri."Oh , Along pun beli ais kerim jugak."

Ya, sudah tua-tua masih beratur membeli aiskerim.Emak menyalami Kak Ila, kemudian mencapai ais kerim yang dibeli Nurindah.Senyum emak bila mendapat ais kerim perisa durian.Nurindah turut bersalam dengan Kak Ila , kemudian dua beranak ini beredar meninggalkan Kak Ila yang sedang membahagikan duit kepada anak-anaknya buat beli ais kerim.

"Ais kerim ni satu berapa?"Tanya emak.

"Lima kupang."Jawab Nurindah sambil menjilat ais kerim.

"Emak bagi tiga ringgit dekat Kak Ila.Dapatlah 6 ais kerim."Emak mengira-ngira."Dulu masa kamu semua kecik-kecik kalau bawak pergi kenduri asyik tengok ja orang lain makan ais kerim.Bila mak tengok anak-anak Kak Ila tu, mak teringat kamu semua masa kecik."Emak bercerita sambil menikmati ais kerim.

"Humm."Nurindah malu.Hari ini dia belajar sesuatu.Nilai tiga ringgit untuk menghiburkan anak-anak ...bukanlah sedikit.







No comments:

Post a Comment