May 21, 2014

Entri 67 : Kapak

Seorang pencari herba masuk ke dalam hutan.Semakin lama dia berjalan jauh ke dalam hutan, dia menjumpai beberapa jenis herba tetapi masih tidak menjumpai sejenis herba yang diminta oleh seorang tabib dari kampung seberang.

Dia mendengar bunyi seperti pokok ditebang,segera dia menghampiri kawasan itu.Boleh juga dia berkenalan dan bertukar pendapat dengan orang lain.

Seorang tukang kayu yang kelihatan sangat keletihan tetapi terus menerus menakik sebatang pokok yang sedepa besarnya.Dia kelihatan tidak berputus asa, bersungguh-sunggguh menghayun kapak,menakik batang pokok tersebut.

'Hey!!!' Si pencari herba menjerit.

Tukang kayu berpaling , memperlahankan takikannya.'Yo!!.'

'Tengah buat apa tu?'Soalan yang agak bodoh tapi berguna untuk berbasa basi.

'Engkau tak nampak ke?Tengah basuh kapal terbang!!!'Jawab si tukang kayu termengah-mengah.

'Engkau nampak letih, berapa lama dah engkau takik pokok ni?'Pencari herba masih berminat untuk menyoal walaupun tukang kayu seperti malas mahu melayan.

'Ada lah tiga empat jam.Tapi pokok degil ni tak mahu juga tumbang!!'Tukang kayu kelihatan marah,takikannya bertambah laju.Dia sudah penat dan basah bermandikan peluh.

'Hoh...lama tu.Engkau nampak sangat letih.Marilah berehat sekejap.Asah kapak tu dulu.Sini!!!Isteriku bekalkan aku nasi lemak, marilah makan bersama.'

'APA?'Tukang kayu tidak berapa jelas dengan ajakan pencari herba.

'MARI BEREHAT SEKEJAP.SAMBIL TU BOLEH ASAH KAPAK KAU TU DULU!!'Pencari herba meninggikan suara.Dengan bunyi takikan yang tak henti-henti, mereka terpaksa bercakap menggunakan frekuensi yang lebih tinggi.

'BODOHH!! TAK NAMPAK KE AKU SIBUK TEBANG POKOK NI!!' Marah si tukang kayu.Dia makin termengah-mengah.

Pencari herba terdiam, dia membuka bekal nasi lemak dan makan.Tiada bunyi selain takikan dan keluhan si tukang kayu.

Sambil makan pencari herba memerhatikan keadaan sekeliling.Pokok-pokok renek menghijau...bunyi kicauan burung...semut-semut merayap dalam satu barisan dan...

Lemba?

Dia mengecilkan mata, ya itu pokok yang dicari-cari.Mungkin pokok itu bertebaran di sekitar hutan ini tapi dia terlepas pandang.Dia tersenyum sambil menghabiskan suapan nasi lemak.Setelah bersiap-siap, dia menghampiri pokok lumba tersebut.Dengan Bismillah,berhati-hati dia mencabut pokok itu.Daun dan akarnya berguna untuk perubatan.

'Ya Allah, Engkau suburkan pokok-pokok di hutan ini.Berkatilah tugasanku.'Dia berdoa dalam hati.

Hari hampir senja, si tukang kayu berhenti menakik.Dia tunduk membelek tangannya sudah melepuh.Dia sudah mahu berputus asa.Pencari herba menghampirinya sambil menghulurkan sebotol minyak.

'Nah, ini minyak herba buatanku sendiri.Ia bagus untuk menghilangkan bisa bisa di badan.Cubalah sapu di tanganmu.'

Tukang kayu diam , menyambut pemberian pencari herba.

'Aku balik dulu...sudah senja.Engkau pun baliklah dulu,berehat sambil asah kapak,esok boleh sambung lagi.'Si pencari herba menepuk bahu tukang kayu kemudian berlalu pergi selepas mengucapkan salam.

Si tukang kayu tercengang melihat pencari herba makin jauh meninggalkannya.Botol minyak yang diberi digenggam erat.

Rujukan:Lemba

No comments:

Post a Comment