Entri 86:Pilihan

cerita Uncategorized

Tiada manusia yang paling malang di dunia ini malah tiada pula yang paling beruntung.

Untung , malang adalah perspektif kaca mata manusia.

Jika ditanya sama malaikat, menjadi manusia itu beruntung.Malah lagi dicemburui iblis.

Asalnya dari air mani yang hina, tidak dipandang sesiapa pun.

Tiba-tiba jadi manusia yang cemerlang.

“Sayangnya dia tidak sedar betapa cemerlangnya dia.Betapa cemerlangnya sehingga Quran diserahkan kepadanya sedang gunung gunung tidak sanggup memikulnya.”Pohon pohon seolah berbisik sesama sendiri.

Namun dia masih terasa kerdil.Dibandingkan diri dengan manusia yang lain.Yang paling kaya, paling cantik dan paling pandai.

Malah dia kepingin menjadi burung atau pokok atau apa sahaja atau lebih baik dia langsung tidak diciptakan.Kenapa Tuhan ciptakan aku?Sepatutnya aku tak wujud dari mula lagi.Dia berkabung, mencela nasibnya.

“Alangkah ruginya.Di sebalik kemalangan itu dia diberi pilihan untuk senyum atau meratap nasib.”Sang burung berterbangan pula ke sarang.

“Bangunlah manusia , senyum dan orakkan langkah mu.Sebelum aku membahammu ke dalam perutku nanti.Saat itu kesal mu tiada guna lagi.”Jerit tanah berselaput rumput rumput yang bersusah payah bertahan walau sentiasa dipijak-pijak.

“Lihatlah aku manusia.Lihatlah matahari, bulan dan bintang di dadaku sebelum aku digulungkan nanti.Saat itu semuanya sia-sia.”Sahut langit yang kadang biru dan kadang hitam lebam.

Dia tersenyum perlahan.Menguis tanah yang melekat di kakinya.

“Ahh.. sudah jatuh masih lagi senyum.Tidakkah kau sedar kau sedang parah?Tiada apa lagi yang mampu kau lakukan!”Jerit suara manusia lain.

“Bangunlah wahai makhluk yang berakal.Tuhanmu tidak pernah meninggalkan mu.”Jerit suatu suara.

Dia cuba bangkit dan terjatuh.Cuba merangkak.Dalam kepayahan dia tersenyum.Alangkah nikmatnya dahulu berjalan dengan dua kaki.

“Begitu malang nasibmu tapi masih lagi tersenyum.”

Dia senyum.Nasibku serahkan pada Tuhan tapi biarkan aku tersenyum.Sekurang-kurangnya ia dapat mengubati hati hati yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *