Aug 5, 2018

Entri 94 : Andaman

Matanya antara buka dan tutup. Selepas Subuh tadi ada dia terfikir untuk berenang kerana berjogging mungkin terlalu berat untuk badannya hari ini.

 Akhirnya dia merancang untuk guna hotel gim sahaja tetapi mungkin dia akan tidur dulu seminit dua dahulu dek kepalanya yang sakit.

  "Berapa lagi hari di sini?"

  "Besok baliklah."

  "Oh, kalau banyak hari lagi mungkin boleh buat rawatan lagi.Yang ini takkan boleh keluar dalam  masa sejam." Tukang urut itu menepuk belakang tulang belikatnya.

  "Nanti silalah sambung urut atau rawatan seterusnya."

Selepas sesi urutan petang semalam terasa dirinya seperti demam. Dia jarang sakit tetapi dia bukanlah tergolong dalam orang yang sihat.Badannya selalu merah dek angin dan allergik.Kerana itu dia sedaya upaya menjaga kesihatannya.

Hari ini pukul 8.44 pagi.

Nampak gayanya bersenam di dalam gim tadi hanyalah dalam mimpi.

Sepatutnya petang semalam dia turun bermain ombak tetapi dia berselimut kesejukan.
Sepatutnya semalam dia turun melihat matahari terbenam tetapi dia tertidur kepenatan.
Sepatutnya pagi ini dia bangun awal melihat matahari naik tetapi dia masih lagi di atas katil.
Sepatutnya dia berenang pagi ini kerana itu antara wishlistnya ke sini tetapi baju renang masih kering di dalam bag.

Hampa.

Kepalanya sakit sebelah.Bila kali terakhir dia sakit kepala? Dia tidak ingat, mungkin beberapa tahun yang lepas.

Nikmat sihat akan terasa bila kita sakit.

Rutin kebiasaan seperti bangun di awal pagi dengan keterujaan  akan mula dirindui bila diri terdampar atas katil.

Percutian kali ini mudah. Tidak ada pelan .Di negara sendiri.Segalanya kebiasaan.

Tiada masalah pertukaran wang.
Tiada masalah pengangkutan.
Tiada masalah akses ke internet.
Tiada masalah komunikasi.

Segalanya senang dan lancar.

Namun dek kerana mudah dia kurang berdoa seperti selalu.Kerana kemudahan itu segalanya diambil mudah.Masa, waktu solat , makan dan segala-galanya diambil mudah.

Mungkin kerana itu dia tersadung.Kerana tidak berberhati-hati seperti selalu.Dia sudah diuji dengan kemudahan dan dia tewas.Maka sekarang dia diuji pula dengan kesusahan.

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.(21:35)
Ya Allah , Tuhan yang membimbing sekian alam. Ampunilah aku dan pimpinlah aku ke jalan yang lurus.Jagalah aku kerana Engkau adalah sebaik sebaik Penjaga.

Amin.

Dia merenung Lautan Andaman sambil berfikir kehidupan apakah di dasarnya.



Dash Resort, Langkawi
5 Ogos 2018



No comments:

Post a Comment