Entri 114 :Masalah besar

"Ya Allah, macam ni. Masalah besar, masalah besar."

Rifaie menangis.Tersedu-sedu.

"Apa yang besar sangat masalah tu?"

Mama long keluar dari dapur.

"Tu".Rifaie menuding ke arah kapal terbang kertas yang tersangkut di tiang ruang tamu.

Oh, besar sungguh masalahmu. Mama long mengikat kain ketat ketat kemudian memanjat tingkap dan mencapai kapal terbang kertas.

Nah.

"Terima kasih". Rifaie mengesat air di penjuru mata dan cepat cepat sambung main.

Mama long menggeleng.

Masalah besar bagi anak berumur dua tahun berbeza dengan masalah besar bagi remaja.

Masalah ibu bapa dalam satu keluarga berbeza dari satu keluarga yang lain.

Masalah wanita di satu negara, berbeza dengan negara yang lain. Sama juga dengan lelaki.

Di satu sudut wall facebook, mungkin ada gadis yang merintih sebab jodoh dia tak datang lagi. Di satu sudut wall, mungkin ada isteri yang merintih dianiaya suami. Di satu sudut mungkin ada ibu yang kesedihan anak-anak kebuluran.

Di satu sudut wall facebook mungkin ada sekumpulan yang bersedih tentang keruntuhan akhlak dan segala masalah politik negara yang tak berkesudahan.

Di sebalik Instagram , senyuman manis , badan yang kurus mungkin 300 kali gambar diambil, diedit dan segala masalah pencahayaan terpaksa diselesaikan.

Di satu sudut dunia, mungkin tiada Facebook, Twitter, Insta. Tiada yang peduli, tiada yang tahu, ada sekumpulan manusia yang berjuang menyelesaikan masalah.Mungkin mereka tak peduli sama ada kita tahu atau tidak.Yang penting  Tuhan yang Maha Besar menguji mereka dengan cabaran sentiasa bersama mereka.

Mama long tertanya sendiri, saat dia manusia biasa ditimpa segala bentuk ujian pernahkah dia betul betul ikhlas memohon dan bergantung pada yang Maha Memberi.
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.Quran -18:7
Paling silap, dia cuma menilai apa apa yang pahit pahit itu ujian, sedangkan perkara yang manis manis umpama gula  itupun ujian.Di dunia ini pahit itu boleh jadi nikmat atau bala sama begitu juga sebaliknya. Tertipu kita hidup-hidup!

Hujan pagi di Taman Metropolitan Kepong


Comments

Popular Posts