Entri 130 : Polpot

Melalui kawasan sekolah lama di Phnom Penh, perasaan itu sangat berat sekali. Entah sakit apa yang menyucuk-nyucuk di kepala.

Apabila melalui padang, laluan kelas-kelas terbayang bayang kanak berlari ketawa. Mereka belum lagi faham betapa pentingnya ilmu saat mereka berlari nyaris merempuh cikgu yang menjinjit buku-buku.

Saat persekolahan tentulah yang paling manis, paling dikenang. Saat belajar berkawan, bergaduh , belajar disiplin dan tanggungjawab atau melarikan diri dari bebelan ibu.Sekolah adalah tempat yang penuh kenangan manis di mana-mana negara pun.

Jauh sekali hendak memikirkan bahawa sekolah itu dijadikan pusat penyeksaan, pemerkosaan , pembunuhan dan segala macam yang tak dapat atau yang ingin dibayangkan dalam otak yang disumbat dengan segala macam positiviti yang ada. Fikiran positif, adakah ia berkesan di sini?

"Di situ asalnya tempat untuk pelajar-pelajar beriadah tetapi diubah suai menjadi tempat penyeksaan." Pegawai di situ menunjukkan di suatu sudut di tepi padang.

Kepalanya semakin menyucuk, dia tidak suka bau ini. Bukan bau ini sahaja...semuanya!

"Kelas ini dibahagikan dengan besi besi dan tembok menjadi penjara kecil untuk menyumbat seberapa banyak orang yang boleh.Lelaki, wanita dan kanak-kanak diasingkan."

Otaknya berfikir, ketila itu berapakah had umur seseorang boleh digelar sebagai dewasa atau kanak-kanak?Gambar-gambar mangsa yang duduk tegak dengan mata yang sayu. Renungan yang penuh harapan atau putus asa.Dia menelan air liur. Pahit.

"Di belakang leher mereka ada alat untuk membuatkan mereka tegak melihat kamera."  Gambar-gambar manusia hitam putih. Wajah ibu, bapa, anak ...wajah manusia.

Soalan... kenapa?

Bukan di sini tetapi merata dunia. Asia, Barat, dulu sekarang sama sahaja.

"Hajah... pembunuhan beramai-ramai bukanlah sesuatu yang baru. Contoh kisah Ashabul Ukhdud yang diceritakan dalam Surah al-Buruj. Pembunuhan beramai-ramai di mana pemerintah mengorek parit dan membakar mereka yang menentang hidup-hidup." 

Terngiang-ngiang suara ustaz di kelas.

Kenapa mereka ini tidak membunuh diri sahaja jika setiap masa menyaksikan orang lain diseksa dan nasib mereka pun bakal sama? Kalau dia mungkin itu yang dilakukan. Buat apa beri peluang untuk orang lain mengambil nyawanya.

"Itu dawai dawai untuk mengelakkan banduan melompat dan membunuh diri."

Ya, mereka pernah cuba untuk mati sendiri...tetapi dihalang.Astaghfirullah, membunuh diri bukankah berdosa besar...tetapi. Perasaannya terbuku, susah diungkap.

Ini kali kedua dia melawat tempat sebegini. Perasaan untuk kali kedua sangat berbeza dengan kali pertama.

Kali pertama di Terowong Jepang, Padang. Dia dan sahabat masuk dalam keadaan ingin tahu, teruja.

Naif.

Bau yang sama. Bau hapak tetapi sebenarnya ianya bukan bersangkutan dengan bau, tetapi perasaan. Aura perasaan sedih, takut masih menyelubungi tempat itu menyebabkan dia terasa seperti mahu pitam.

Penjara kecil bersebelahan dengan ruang kecil yang dilabel sebagai 'Dapur'.

Kenapa penjara bersebelahan dengan dapur. Mahu menyiksakan banduan dengan bau makanan yang sedap ke?

"Akak, ini bukan dapur yang itu kak." Pemandu pelancong itu seolah membaca fikirannnya. "Dapur di sini adalah tempat penyeksaan kak. Banduan di dalam penjara ini akan dapat mendengar jeritan dan bagaimana kawan-kawan mereka disiksa dan dibunuh kak."

Mahu menyiksakan banduan dengan bau makanan yang sedap ke? Bodoh betul pemikiran itu. Dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh terfikir perkara sebodoh itu.

"Di atas situ lubang kak, terus ke gaung. Mayat-mayat dibuang sahaja di sini. Tidak ditanam." Ngeri. Tempat apakah ini?!

"Di situ lubang untuk menjerat orang-orang awam kak. Mereka ditangkap dan dipaksa jadi buruh."

Dia melihat lubang itu sayup-sayup, hanya sedikit cahaya yang masuk. Tak dapat dibayangkan mereka yang terkurung, dipaksa bekerja , diseksa sedangkan sebelum ini mereka bebas membanting tulang untuk keluarga. Apalah nasib ibu, isteri dan anak yang menanti di luar sana.

Hilang teruja dan ingin tahu. Kepala menjadi berat.

Hari ini di Kemboja, dia melawat lagi tempat yang sama. Aura perasaan yang sama.Ketakutan, kesedihan, kerinduan, putus asa dan segalanya berkumpul padat bertimbal balik  di sekolah di Tuol Sleng.

"Sampai di sini sahaja ya, anda boleh meneruskan lawatan ke bangunan yang seterusnya jika mahu." Beritahu pegawai bertugas mengakhiri penerangannya.

Cukuplah pengajaran yang dia dapat untuk hari ini. Dia keluar menuju ke kerusi mengadap padang, melalui khemah kecil di mana salah seorang yang terselamat berkongsi pengalaman.

Duduk di kerusi panjang,bukan dia seorang. Semua orang seperti berkabung. Diam dan memikirkan bagaimana manusia boleh menjadi kejam begitu.Dan hari ini pada tahun yang sama, kekejaman manusia masih lagi berlaku di serata dunia. Perang, pembunuhan etnik, pemerdagangan manusia.

Seorang gadis berskirt denim paras peha dan berbaju kuning tiba-tiba menyapa "Hi, can you take my photo please." Sambil menghulurkan telefon bimbit.

Beberapa shot diambil sehingga gadis itu puas hati. "Where are you from?"

"Myanmar."

"It is nice to travel here right."

"Yes, I love to learn about other country."

Diam.

"Me too." Dia menjawab dalam hati.

Tuol Sleng Genocide Muzeum

"Celakalah kaum yang menggali parit,(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran,(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman."85:4-7





Comments

Popular Posts