Entri 139: Kereta

23 Mac 2020
Isnin

"Apa yang kita dapat hari ini, segala kemudahan dan keselamatan.
Mungkin kerana doa datuk moyang atau doa sesiapa sahaja untuk kita yang dimakbulkan Allah"

Pagi pagi dia sudah bangun solat  Subuh dan bersiap siap. Hari ini tugasan utamanya adalah untuk membeli barang barang yang sudah disenaraikan semalam.17 barang semuanya.

Dia memilih untuk memakai  jubah hitam yag paling ringkas, selendang  yang tak perlu dipin. Alasannya balik nanti senang untuk ditanggalkan.Duit pun diasingkan dalam dompet kecil, malah dia memutuskan utuk memakai beg tangan yang paling lusuh. Ya, supaya tak meyesal bila terpaksa dinyah-bakteriakan and mengakibatkan lusuh dan rosak.


Hari ini hari ke-enam mungkin, dia sudah hilang kira. Sampai sahaja di deretan kedai  Taman Melati, dia membuat penilaian kasar. Terdapat empat buah kedai, tiga buah daripadanya adalah kedai runcit yang ada menjual barangan basah dan satu daripadanya ialah KK Mart yang cuma menjual barang-barang kering. 

Masalahnya tiga kedai runcit tersebut dipenuhi orang , satu perkara yag perlu dipatuhi dalam peraturan kejuruteraan sosial iaitu melawan wabak ; memastikan jarak sosial satu meter atau lebih.

Huh belum pukul 8 pagi dah ramai, di hari Isnin pula. Adakah semuanya mempunyai idea yang sama, datang beli barang pada pagi Isnin?


Jadi dia mulakan dulu dengan KK Mart, barang tak murah tapi musim sekarang tak boleh memilih buat survey bagai. Belilah apa yag ada di KK Mart ini , lepas tu kita tengok pula apa yang ada di kedai lain.


Nescafe? Dia scan bahagian minuman; kopi 3 dalam 1, Milo , teh...eh mana Nescafe ? Adakah sudah habis disebabkan tular Dalgona coffee? Kalau benar memang gila ya! Dia ke cashier untuk  bertanya;


“Nescafe serbuk mana dik?”
“Sekejap” Cashier tersebut mencapai satu paket Nescafe yang diatur bersama deretan ubat di belakang kaunter cashier.
“Kenapa letak kat situ?" Tak ke menyusahkan bila cashier nak kena ambil setiap kali.Dahla cashier ni rendah, rak tu pula tinggi.

“Ada orang curi kak.”Beritahu cashier.


Terdiam.Sejak bila Nescafe jadi barang terkawal ni.


Barang kering kebanyakan sudah ditick. Selesai membeli dia menyimpan barang yang dibeli siap siap dalam kereta sebelum menuju ke kedai seterusnya.


Sekarang fokus adalah barangan basah; sayuran, ikan dan buah-buahan. Kedai kedua; Bazaar Rakyat. Yang ada dan masih banyak cuma ada ikan dan ayam. Sayur cuma  tinggal terung dan petola, itu pun tersungkur layu dalam bekas.Tak apalah ambil yang ini dulu lepas tu tengok di kedai lain.Dibuatnya sayur tak ada di kedai lain tak ke haru.
Rempah kurma takda. Humm.. dekat KK Mart tadi pun tak ada. Kurma bukanlah favoritenya tetapi perlu dicari dek kerana dua kawan serumahnya memesan rempah kurma. Ramai yang suka makan masak kurma rupanya.


"Cili boh ada tak kak?" Tanyanya.
"Takde dik, semua orang beli cili boh."


Takpala tengok di  kedai lain nanti. Namun pekedai tersebut baik hati memunggah kotak.
"Adik tinggal ini sahaja."


Aduh.

Dia membelek cili boh yang tinggal, sedih benar melihat paket cili boh. Jika hari kebiasaan mesti langsung tak dipandang.Yang nampak okay pun paketnya kecil sangat. Tak apalah ambil dulu.Jangan banyak songeh.


Kedai ketiga, buah epal dijual sebiji sebiji, ada buah mangga, ada anggur. Kalau hendak diambil semua jenis eh berat.Lagi pula takut bajet lari. Tak apalah ambil tiga biji epal dan dua paket anggur. Nasib baik rempah kurma ada kedai ini. Cendawan tiram...paketnya kecil dan layu pula keadaannya.Tomato masih segar. Susu segar hummm... masih belum ada.Nak kena cari di kedai lain pula.


Okay siap masukkan barang dalam kereta.Tiba tiba bunyi;

BEEEPPPPP....BEEEPPPPPP ...BBEEEEEPPPP..............

Ahh.. sudah!!Menarik perhatian semua orang di kawasan deretan kedai ini.


Remote kereta takde bateri ke?Aahh ralat. Bunyi bising tentulah membuatkan orang terjenguk-jenguk. Ada dua tiga datang mahu menolong tapi tak dapat.


Sekarang awal lagi, nak tunggu bengkel buka pukul 10 nanti berasap jadinya.Itupun kalau buka. Sekarang tempoh berkurung, kebanyakan kedai tutup.


Ada seorang lelaki tua berumur mungkin dalam 50 an. Setelah bersoal selidik, teori yang boleh dikenalpasti kemungkinan; bateri remote dah kong.


"Saya ada kunci spare kat rumah." Dia memberitahu.


Mujurlah rumahnya berdekatan dan mujur juga pagi ini dia memutuskan untuk pergi ke kedai runcit berdekatan rumah. Bayangkan kalau dia memilih untuk membeli barang di sekitar Batu Caves, Taman Melawati.Nasib baik.Pakcik tersebut pula sanggup menumpangkannya untuk mengambil kunci spare.


Sampai rumah terus masuk bilik dan punggah almari. Terlupa tentang SOP yang dirancang sebelum keluar tadi iaitu balik terus mandi. Kalut mencari kunci sebab pakcik sedang menunggu di bawah. Mujur sangat dia masih ingat dekat mana dia simpan. 


Mereka sampai semula di tempat keretanya tersadai, dia menekan remote spare dengan penuh harapan.Tak jalan!Padahal remote tu kelihatan baru lagi.Dia mati akal sekejap.


“Takpa, saya balik ambil spanar. Tapi kena tunggulah.” Pakcik tersebut mencadangkan.

Selain menunggu apalah lagi yang boleh dibuat.Berpeluh juga bila matahari mula menyuluh. Kawan serumahnya sudah dimesej, paling tidak dapat datang mengambil barangan basah yang dibeli.Takut nanti ikan membusuk.

Bila menunggu lama macam ni, macam macam hal boleh diperhatikan.


Ada pekedai yang berdekatan cuba menolong. “Humm bateri habis ni.” Komen mereka setelah tidak berjaya.Ya, dalam hati dia pun syak perkara yang sama; bateri.

Ada orang gila lalu lalang. Aduh kalau tiba-tiba orang gila tu buat hal macam mana, risau dia sambil memerhati kedai terdekat yang berkemungkinan menjadi tempat melarikan diri. 

Ada beberapa ekor kucing yang tadi asyik bermain dengan kain jubahnya kini sudah tertidur.


Pakcik tersebut datang semula dengan motosikal.Dia membuka bonet kereta dan membelek sesuatu dengan  spanar.Tentulah alarm berbunyi.Glamour kereta ni di pagi Isnin saat lengang ketika perintah berkurung.


“Takda masalah bateri.Masalah dengan remote ni.Bateri kuat lagi.”Dia memberitahu.


“Beginilah, bagi remote tu pada saya, saya cuba cari kedai utuk tukarkan bateri remote.Tapi kena tunggu lagilah ya. Sekarang banyak roadblock pula tu.”


Penantian untuk kedua kali. Hampir pukul 10 pagi, tapi tak ada tanda-tanda bengkel berdekatannya nak dibuka.Dia melengung di situ, sudahlah sepatutya hari ini dia masuk bekerja. Kerja dari rumah kadang lebih kompleks dari kerja di pejabat.


Berpeluh berkuap ya Allah Tuhan saja tahu.Dia berbaik sangka. Moga moga pakcik ni bukan orang jahat.Eh, buatnya pakcik ni tak datang.Ishh... Astaghfirullahalazim jahatnya fikiran.


Lama kemudian pakcik tersebut muncul.Senyum hampa.”Kasihan, kedai satu pun tak ada yang buka.” 

Terdiam sekejap sebab dia memikirkan apa yang perlu dibuat.


“Humm kalau begitu kereta ni terpaksalah tinggal kat sini dulu.” Dia merenung kereta yang berusia hampir 13 tahun, sedih pula kalau ditinggalkan di sini.


“Tak apa biar saya cuba lagi sekali.”


“Saya ada google untuk kereta Viva , kalau tekan brek sambil pulas kunci sampai ON inshaaAllah boleh. Tapi saya buat tadi tak boleh” Dia memberitahu antara usaha yang sudah dibuat sepanjang penantian.Mungkin dia tak boleh buat tapi pakcik ni boleh buat.

“Tak apa biar saya cuba lagi sekali.Kalau tak saya hantar awak balik dan kita usahakan cara lain.”


Pakcik tersebut membetulkan bateri, kemudian cuba meghidupka kereta dan enjin berbunyi.


“Alhamdulillah.”Leganya.

"Nanti jangan pakai remote ya. Pakai kunci manual dulu."Pakcik tu berpesan.

Waktu itu baru dia tahu nama Pakcik, merupakan seorang guru mengajar di sekolah vokasional dalam bidang automatif.Patutlah.

"Terima kasih cikgu.Tak tahu nak balas budi baik." Nak bagi duit, hatinya berkata tak sopan.

Cikgu tersebut ketawa,


"Hari ini hari kamu, masa mendatang mungkin hari anak saya, cucu cicit saya. Saat itu saya berdoa ada orang yang sudi datang menolong mereka."


Saat itu kawan serumahnya sudah sampai , Alhamdulillah segalanya sudah selamat.


Hampir separuh hari dia berpeluh di luar,penat. Dia memberitahu bosnya untuk bercuti. Kalau masuk kerja rasanya tak dapat fokus.Daripada fikiran melayang baik jangan masuk kerja.


Sampai di rumah dia menguruskan apa yag patut.Mandi, mengemas barang-barang yang dibeli. Kemudian terlelap betul betul lena. Bukan power nap tapi memang tertidur terus. Bila terjaga sudah pukul tiga petang.

Saat dia berteleku di sejadah selepas solat Zohor, dia teringat kata-kata cikgu tadi.
Apa yang kita dapat hari ini, segala kemudahan dan keselamatan. Mungkin kerana doa datuk moyang atau doa sesiapa sahaja untuk kita yang dimakbulkan Allah. 


Comments

Popular Posts