Entri 144 : Hikayat Orang Kaya Tak Boleh Tidur

Benar sekali.Dalam semua masalah, masalah inilah yang menimpa Orang Kaya.
Bila malam menjelma, Orang Kaya masih terkial kial memejam mata. Cemburu dia melihat anak-anak dan isteri tidur, hatta tergolek jatuh katil sekalipun tak sedar.

Maka mencari-carilah Orang Kaya ini petua untuk tidur lena, bukan tidur-tidur ayam. Badan letih tapi tak boleh tidur. Didesaknya si isteri dan anak-anak menekan Google, scroll Facebook dan mencari petua petua di segenap alam maya yang membolehkan Orang Kaya tidur seperti orang lain.

"Cubalah bersedekah" Cadang isterinya.

Muka Orang Kaya merah menyala. "Bukankah aku sudah bersedekah banyak, lihat ada Youtube channel lagi semata mata untuk bersedekah."Marahnya.

"Tapi bang, tu meriyak bang!"

"Amboi, asal yang kau nampak tu riak aku la yer." Bengang si Orang Kaya ini.

Itulah manusia ; bila kita sedekah diam diam tak ada siapa tahu  kata kedekut.
Bila buat heboh heboh kata riak pula.

Memang Orang Kaya suka bersedekah. Semua orang tahu pun. Tok Imam dan qariah masjid tahu seberapa banyak yang disumbang ke masjid walaupun orang lain belum tentu tahu.

Yang orang lain tahu, jutaan view di YouTube channel menawarkan pelbagai hadiah setiap bulan.

Bila fikir dalam-dalam, mungkin betul juga kata isterinya. Kali ini biar aku  cuba sedekah takda siapa tahu.

Maka keesokan harinya, dia singgah di stesen minyak menyalin pakaian yang dibeli di kedai bundle. Kemudian dia mengenakan topeng muka hitam. Oh, terasa diri busuk pula tiba-tiba sebab lama sudah tak pakai baju bundle.

Mukanya sebenarnya dah macam orang tua disebabkan eyebag.Mujurlah ada filter di Youtube, Instagram yang membuatkan rupanya segak.

Saat dia berjalan tanpa arah tujuan tiba-tiba tangannya ditarik.

"Aku nak duit!!Bagi aku duit!!" Orang itu menengking.

Oh seperti orang mengantuk disorong bantal. Tak perlu lah dia merayau rayau mencari sesiapa yang perlukan sedekah.

"Kejap kejap aku ada. Kut ya pun tak payah tengking-tengking.Memang aku nak bagi."

Saat dia mengeluarkan dompet, lelaki itu meragut dompetnya mengambil beberapa not sebelum menyerahkannya semula. "Terima kasih!" Kemudian berlari pergi.

"Iskk... adab kat mana?!Oiii.. aku halalkan duit aku. Engkau guna baik baik!!" Jeritnya.

Dia berpatah balik berjalan menuju ke keretanya. Malam hampir pukul 10 baru dia sampai rumah.

Penat dan terus tidur. Tidak peduli langsung dengan si isteri yang tertanya-tanya.

Dalam bingung isterinya bersyukur. Bolehlah dia melayan Netflix dengan aman malam ini.


Comments

Popular Posts