Entri 155 : Kebetulan

Sabtu, 22 Ogos

Pagi pagi dia ke sudah terpacak di pusat servis kereta berdekatan Mid Valley untuk yang ke 1000 km. Tak sampai sebulan kereta itu mencecah 1000km dek berulang alik Kedah - Kuala Lumpur.

Setelah melalui beberapa prosedur, dia memutuskan untuk mencari sarapan. Ditempahnya Grab ke Mid Valley, sebuah kereta Honda datang menjemput dengan bau rokok memeningkan kepala.

Saat dia berjalan mencari tempat makan di Boulevard, seorang wanita tua menahannya bertanyakan lokasi pusat training.

Kebetulan dia memang tahu pusat training itu. "That building, it's near to beauty clinique."

Antara Starbuck dan kedai Jepun, dia memilih untuk mencuba sarapan ala Jepun. Sudah lama dia tidak keluar sarapan macam ni.Setelah makan ala kadar, dia berpatah balik ke pusat servis. Kali ini kereta kecil yang menjemputnya. Super bersih dan harum. Malah terdapat beberapa botol dettol disediakan di dalam kereta.

"Wah, bersihnya."

"Tak adalah, petang nanti baru nak pergi cuci."

Di pusat servis, sepatutnya sejam tapi sekarang sudah pukul 11 pagi. Resah sekejap. Kesilapan besar adalah tidak membawa buku. 

"Maaf puan, kami sedang check aduan puan tentang kereta bergoyang bila bawa laju,Kemungkinan disebabkan tekanan tayar."

Baik, dia mampu bersabar.

Dia pulang ke rumah dan kemudian keluar lagi untuk melawat keluarga adiknya di Kajang. Sebelum tu, perlu keluarkan duit dahulu.

Dia singgah di Shell, setelah megeluarkan wang dia membelek barang di Shell, antaranya mesin vending Costa.

Saat itu seorang budak lelaki kurus kering, berbaju kuning dalam keadaan basah kuyup menghampiri kaunter.

Di luar tak hujan, kenapa basah sampai menitik nitik. Budak itu langsung tidak menarik perhatiannya hinggalah staf di situ bertanya dengan nada simpati.

"Kenapa dik?"

Budak itu bersuara tapi perlahan.

"Sini, situ pelanggan nak bayar." 

Budak itu kelihatan malu malu, mungkin kerana ada orang lain beratur untuk membayar. Orang lain itu hanya dia yang perlu membayar harga minuman sebelum menggunakan mesin vending. 

Dia memasang telinga kerana budak ini kelihatan pelik.

"Ada kerja kosong ke kak?"

"Oh, isi borang ini."

"Ada kemungkinan tak saya dapat."

"Alamak, yang itu tak pasti. Takper dik isi borang ni."

Sedang budak itu mengisi borang, hatinya sudah tak keruan. Simpatinya mencurah-curah. Budak kurus kering, bermuka bersih dan basah kuyup datang bertanyakan kerja kosong. Dia tidak ingat lagi perbualan budak itu dengan staf di situ. 

Saat dia sudah mengambil minumannya dia berlegar di pintu menunggu budak itu selesai.

Selesai mengisi borang budak itu berjalan terus keluar, tidak berpaling.

"Adik.."

Tak dengar.Terus, malu pula dia berkejar begitu.

"Adik...adik!!"

Budak itu berpaling, keliru. 

"Ini ... adik ambil. Semoga dimudahkan urusan." 

Sekeping not didesak ke tangan budak itu. Dalam keadaan budak itu masih keliru, dia cepat cepat berlalu. Tidak mahu bersoal jawab, paling dia takut kalau budak itu segan untuk mengambil not tadi.

Di dalam kereta dia menangis, cepat-cepat dia telefon emak.

"Emak, Along boleh beli jajan dan barang yang tidak penting. Tapi kat luar sana, ada orang yang tak ada kerja dan tak cukup makan."

Ya Allah. Pening emak hendak melayan anak yang emosional ini.

bunga

Comments

Popular Posts